PUTATAN: Orang ramai yang menghuni lokaliti sekitar Putatan terutamanya di DUN Tanjung Keramat di minta peka terhadap kebersihan parit dan sentiasa berkerjasama dengan pihak berwajib bagi menangani isu wabak denggi serta banjir kilat.
ADUN Tanjung Keramat; Shah Alfie Yahya (SAY) berkata, penduduk diminta segera untuk mengadukan isu dalam memastikan pihak berwajib seperti Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), Majlis Daerah Putatan (MDPTN) serta lain-lain agensi untuk bertindak dari semasa ke semasa.
Jelasnya, dengan adanya kerjasama berkenaan, ia dilihat mampu menjadi mekanisme terbaik dalam mencari jalan penyelesaian dan bukannya hanya bertindak menuding jari terhadap satu-satu pihak sahaja.
“Isu parit tersumbat, kotor dan penuh sampah sarap ini merupakan antara permasalahan yang perlu diselesaikan dari pihak masyarakat hinggalah ke pihak pelaksana tugas seperti PBT dan sebagainya.
“Saya menyeru kepada mana-mana penduduk supaya terus memberikan kerjasama mereka jika ada permasalahan ini terus berlaku dan kepada pihak yang terlibat, kita berharap supaya isu ini dapat ditangani dari semasa ke semasa, jangan tunggu ada aduan barulah mahu bertindak, “katanya.
Beliau berkata demikian selepas program walkabout di kawasan perumahan Taman Bersatu, Putatan, pada Selasa.
Hadir sama adalah Pemimpin Pembangunan Masyarakat (PPM) Tanjung Keramat; Latip Jiar, Pegawai Eksekutif Majlis Daerah Putatan; Ahmad Helmy Mohd Taib, ADO Pembangunan; Hafiz Murneh dan rombongan JKR, Jabatan Air Negeri Sabah serta syarikat konsensi terlibat.
Mengulas mengenai program tersebut, SAY berkata, pihaknya menerima maklum balas positif daripada para penduduk setempat terutamanya melibatkan isu perparitan dan lampu jalan.
“Ya, kerjasama beginilah yang kita harapkan daripada penduduk di mana mereka menyuarakan isu setempat.
“Hasil tinjauan juga, kita mendapati ada longkang-longkang dan parit di kawasan ini sumbat serta roboh infrastrukturnya yang mana perlu diatasi di masa hadapan.
“Perkara ini kita akan bawa ke peringkat seterusnya dalam memastikan tahap keselesaan serta keselamatan penduduk terus terbela, “katanya.
