KOTA KINABALU: Pemilikan pegangan 20 peratus dalam industri minyak dan gas melalui kerjasama strategik bersama PETRONAS disifatkan sebagai langkah penting ke arah menjamin hasil ekonomi Sabah yang lebih mampan dan berterusan untuk jangka panjang.
Aktivis politik pro-Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Aksyah Haji Nasrah berkata, kerjasama bersejarah antara Kerajaan Negeri di bawah pimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor dan PETRONAS amat tepat menggambarkan keperluan Sabah untuk bergerak secara strategik dan berpasukan bagi mencapai kemajuan yang berkekalan.
Menurutnya, kepimpinan parti tempatan di Sabah membolehkan keputusan dibuat dengan lebih pantas, jitu dan berfokus kepada kepentingan negeri, sekali gus memberi kebebasan kepada kerajaan negeri menentukan hala tuju terbaik pembangunan ekonomi.
“Namun, untuk memastikan Sabah bukan sekadar bergerak pantas tetapi mampu bergerak lebih jauh, negeri ini perlu berjalan seiring dengan Kerajaan Persekutuan. Dalam konteks industri minyak dan gas, PETRONAS adalah rakan strategik yang memastikan hasil negeri dapat dinikmati secara mampan oleh rakyat Sabah,” katanya dalam satu kenyataan.
Aksyah berkata, pemilikan pegangan saham 20 peratus itu jelas membuktikan kebijaksanaan serta wawasan jauh Ketua Menteri dalam memimpin Sabah, sekali gus menutup dakwaan pembangkang sebelum Pilihan Raya Negeri ke-17 lalu yang mempertikaikan kemampuan Sabah menguasai industri minyak dan gas.
Katanya, kejayaan itu menafikan tuduhan kononnya Sabah ketinggalan berbanding negeri lain atau tidak berupaya membangunkan pemain industri tempatan dalam sektor minyak dan gas.
“Sabah tidak perlu meniru sepenuhnya pendekatan negeri lain kerana setiap negeri mempunyai keupayaan dan latar belakang tersendiri. Pendekatan setapak demi setapak yang diambil kerajaan negeri adalah realistik, strategik dan sesuai dengan keupayaan sebenar Sabah,” katanya.
Beliau berkata, langkah itu boleh disifatkan sebagai strategi ‘sambil menyelam, sambil minum air’ apabila Sabah bukan sahaja membina keupayaan dan pengalaman dalam industri berkenaan, malah pada masa sama memperoleh pemilikan saham serta memastikan hasil ekonomi terus mengalir.
Menurutnya, kerjasama itu turut membuka ruang kepada pemain industri tempatan Sabah untuk terlibat secara lebih aktif dalam rantaian nilai industri minyak dan gas, sekali gus membolehkan rakyat menikmati limpahan ekonomi yang lebih luas.
Aksyah yakin, dengan sumber pendapatan yang lebih stabil dan terjamin, pelaksanaan Halatuju Sabah Maju Jaya (SMJ) 2.0 akan dapat direalisasikan dengan lebih berkesan.
Beliau turut menegaskan bahawa kepimpinan Hajiji tidak hanya bergantung kepada tuntutan 40 peratus hasil negeri, sebaliknya mengambil langkah proaktif mempelbagaikan asas ekonomi negeri demi kesejahteraan rakyat Sabah hari ini dan pada masa hadapan.
“Syabas kepada Ketua Menteri dan barisan pengurusan SMJ Energy atas kejayaan strategik ini dalam menyediakan landasan ekonomi yang lebih kukuh untuk negeri dan rakyat Sabah,” katanya.
