KUDAT – Sepasang suami isteri warga emas ditemui rentung selepas rumah yang didiami mereka musnah sepenuhnya dalam satu kebakaran di Kampung Lausan Batu 4, di sini, awal pagi tadi.
Dalam kejadian kira-kira jam 11.58 malam, sebuah rumah jenis tidak kekal dua tingkat berkeluasan kira-kira 30 x 40 kaki dilaporkan terbakar 100 peratus ketika pasukan bomba tiba di lokasi.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kudat, PPgB Darikson Galanang berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan melalui talian balai sebelum sepasukan 10 anggota bersama sebuah jentera dikejarkan ke lokasi kejadian yang terletak kira-kira enam kilometer dari balai.
Menurutnya, pasukan bomba berdepan kesukaran untuk memasuki kawasan kejadian berikutan laluan jambatan yang sempit serta halangan wayar elektrik rendah yang mengganggu pergerakan jentera.
“Operasi pemadaman dijalankan menggunakan satu aliran sepanjang 400 kaki dengan dua pancutan serta bekalan air daripada tangki jentera bomba,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, operasi turut dibantu Pasukan Bomba Sukarela Kampung Ayer melibatkan lapan anggota.
Dalam kejadian itu, dua mangsa iaitu seorang lelaki berusia 74 tahun dan isterinya berusia 73 tahun ditemui rentung di dalam bilik tidur rumah berkenaan pada jam 1 pagi.
“Mangsa lelaki dikeluarkan pada jam 2 pagi manakala mangsa wanita pada jam 3.50 pagi sebelum kedua-duanya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya.
Tambahnya, kebakaran berjaya dikawal pada jam 1.30 pagi dan operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 4.47 pagi selepas pasukan bomba memastikan keadaan selamat serta tiada lagi bahaya di lokasi kejadian.
Operasi melibatkan seramai 18 anggota terdiri daripada BBP Kudat, Pasukan Bomba Sukarela Kampung Ayer serta dibantu agensi lain termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
