LAHAD DATU: Polis menahan sepasang suami isteri selepas disyaki memiliki dadah jenis syabu dalam serbuan Ops Tapis yang dijalankan di sebuah rumah tidak bernombor di Kampung Unta, Jalan Bakawali, di sini.
Ketua Polis Daerah Lahad Datu, ACP Dzulbaharin bin Hj. Ismail berkata, serbuan berkenaan dijalankan oleh sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah (BSJND) IPD Lahad Datu hasil maklumat berkaitan aktiviti penyalahgunaan dadah.
Menurutnya, dalam operasi itu polis menahan seorang lelaki dan seorang wanita tempatan yang merupakan pasangan suami isteri, masing-masing berusia 44 tahun, yang berada dalam keadaan mencurigakan di dalam rumah berkenaan.
“Hasil pemeriksaan lanjut, polis menemui satu paket plastik lutsinar berisi ketulan hablur jernih disyaki dadah jenis syabu seberat kira-kira 0.47 gram bersama beberapa peralatan dipercayai digunakan untuk penyalahgunaan dadah.
“Kedua-dua suspek kemudiannya ditahan bagi membantu siasatan,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 kerana memiliki dadah serta Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 kerana memasukkan dadah ke dalam badan.
Dalam perkembangan sama, ACP Dzulbaharin berkata BSJND IPD Lahad Datu turut menjalankan pemeriksaan di sebuah premis hiburan jenis bistro atau kafe di daerah ini pada hari sama.
“Operasi yang melibatkan seorang pegawai dan lapan anggota itu memeriksa seramai tujuh pengunjung terdiri daripada empat lelaki dan tiga perempuan.
“Hasil ujian saringan air kencing yang dijalankan mendapati kesemua individu berkenaan negatif daripada sebarang penyalahgunaan dadah dan tiada tangkapan dibuat,” katanya.
Beliau menegaskan pihak polis akan terus mempergiatkan operasi serta pemantauan bagi membanteras kegiatan penyalahgunaan dadah di daerah Lahad Datu.
“Polis tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang terlibat dengan aktiviti dadah dan orang ramai diminta terus menyalurkan maklumat kepada pihak berkuasa bagi memastikan keselamatan serta ketenteraman awam sentiasa terpelihara,” katanya.
