PUTATAN: Golongan peniaga di Putatan khususnya di Tanjung Keramat di minta terus cakna mengenai corak bantuan yang disalurkan kerajaan dalam usaha memperkukuh rantaian ekonomi di lokaliti setempat.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Keramat; Shah Alfie Yahya (SAY) berkata, peranan golongan tersebut sama ada penjaja, peniaga kecil hinggalah peringkat usahawan perlu mengetahui sokongan saluran berkenaan yang mana banyak disediakan oleh kerajaan negeri di bawah kepimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor.
Jelasnya, golongan itu perlu bijak mengambil peluang yang ada untuk memperkasakan perniagaan mereka lebih-lebih lagi dengan adanya insiatif-insiatif diperkenalkan dalam pelaksanaan Sabah Maju Jaya 2.0 (SMJ2.0) baru-baru ini.
“Banyak sebenarnya pelan-pelan yang diperkenalkan oleh kerajaan termasuklah baru-baru ini SMJ 2.0 yang mana terdapat inisiatif bakal dilaksana bagi membantu golongan peniaga.
“Ini termasuklah inisiatif SME-UP, pembangunan modal insan dan lain-lain.
“Bagi kami di peringkat DUN pula, hasrat memperkasa golongan peniaga dan usahawan ini memang termasuk dalam meja ekonomi Tg Keramat yang mana kita akan sentiasa membantu sebagai pemudah cara masyarakat setempat dengan agensi atau jabatan kerajaan yang selaras dengan pembiayaan, pemula demi memperkukuh rantaian ekonomi di peringkat DUN kami,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan program Program Bubur Lambuk Ukhwah Ramadan Kelab Usahawan Sahabat Ikhtiar Kota Kinabalu (KUSIKK) dengan Kerjasama Sahabat Blok Petagas di Masjid Al-Mahabah, Kg Muhibbah, dekat sini, pada Sabtu.
Hadir sama adalah Pengurus Cawangan Kanan Angkatan Ikrar Malaysia (AIM) Cawangan Kota Kinabalu; Adzam Supri, Pengerusi KUSIKK; Wan Raizah Matsah, Pemimpin Pembangunan Masyarakat (PPM) Tanjung Keramat; Latip Jiar dan Pegawai Kemajuan Masyarakat Tg Keramat; Syed Arizal Karim.
Sementara itu, mengulas lanjut mengenai program berkenaan, SAY berkata selain mengimarahkan bulan Ramadan, acara sebegitu boleh menjadi program yang signifikan terhadap pembabitan orang awam, penduduk kampung serta usahawan-usahawan setempat.
“Apa yang dilaksanakan ini sememangnya baik di samping menunaikan tanggungjawab sosial (CSR) masing-masing.
“Kita berharap ia dapat diteruskan lagi di masa akan datang bukan sahaja di bulan Ramadan, malah di bulan lain sebagai usaha memperkenalkan kelab dan program diusahakan pihak penganjur seperti AIM dan KUSIKK ini, “katanya.
