Kota Kinabalu: Seorang aktivis masyarakat di Sabah menegur keras tindakan segelintir pempengaruh media sosial yang memaparkan kandungan tidak bermoral dan keterlaluan, termasuk aksi berpelukan serta ciuman sesama lelaki, yang kini tular dan mencetuskan kebimbangan dalam kalangan masyarakat.
Kefayatullah Malik, aktivis masyarakat dan Pengerusi Pertubuhan Amal Kembara Aspirasi Sabah (PAKAS) merangkap Pengasas TigaSatuTiga Channel, berkata trend kandungan sedemikian tidak wajar dinormalisasikan atas alasan hiburan atau untuk meraih perhatian dan populariti di media sosial.
Menurut beliau, pempengaruh bukan lagi sekadar individu biasa, sebaliknya figura awam yang mempunyai pengaruh besar serta tanggungjawab sosial kerana setiap kandungan yang dipaparkan berpotensi membentuk pemikiran, sikap dan tingkah laku masyarakat, khususnya generasi muda.
“Apabila aksi tidak bermoral dipaparkan secara terbuka dan dijadikan bahan hiburan, ia menghantar mesej yang salah kepada masyarakat. Kandungan sebegini berpotensi meruntuhkan adab, nilai dan akhlak, terutamanya dalam kalangan anak muda yang mudah terpengaruh,” katanya ketika mengulas isu tersebut.
Beliau menegaskan bahawa Malaysia, termasuk Sabah, mempunyai norma masyarakat, adat dan budaya yang menekankan kesopanan serta batas dalam pergaulan dan paparan awam. Oleh itu, kandungan berunsur lucah, keterlaluan atau mencabar nilai masyarakat tidak sepatutnya diberi ruang, apatah lagi dipromosikan secara terbuka.
Kefayatullah menjelaskan bahawa teguran tersebut ditujukan kepada semua pempengaruh tanpa mengira latar belakang. Namun, beliau menegaskan bahawa pempengaruh beragama Islam memikul tanggungjawab moral yang lebih besar untuk menjaga maruah diri, imej agama serta sensitiviti masyarakat.
“Sebagai Muslim, menjaga adab dan akhlak bukan pilihan. Lebih-lebih lagi apabila seseorang itu berada di ruang awam dan menjadi perhatian ramai. Jika tidak mampu menjadi teladan yang baik, sekurang-kurangnya jangan mempamerkan perilaku yang boleh mengelirukan dan merosakkan masyarakat,” katanya.
Beliau turut menyuarakan kebimbangan terhadap kecenderungan membawa masuk budaya asing yang bertentangan dengan norma tempatan ke dalam kandungan media sosial tempatan, khususnya di Sabah.
“Sabah tidak wajar dijadikan pentas untuk menormalisasikan budaya tidak bermoral. Apa yang dianggap hiburan atau kandungan viral hari ini boleh menjadi kebiasaan esok jika tidak ditegur,” katanya.
Sehubungan itu, beliau menggesa semua pempengaruh dan pencipta kandungan agar lebih beretika, berfikir secara matang dan bertanggungjawab sebelum memuat naik sebarang kandungan, demi menjaga keharmonian sosial serta masa depan generasi muda.
Isu kandungan tidak bermoral di media sosial, menurut beliau, wajar diberi perhatian serius oleh semua pihak agar ruang digital tidak menjadi medan penyebaran nilai yang bercanggah dengan adab dan norma masyarakat.
