KENINGAU: Menjelang musim pilihan raya, perbualan politik di kawasan pedalaman Sabah, khususnya Parlimen P.180 Keningau, semakin rancak apabila beberapa nama mula disebut-sebut oleh pemerhati politik dan masyarakat akar umbi sebagai antara tokoh yang berpotensi tampil mewarnai persaingan.
Ketika ini, kerusi Parlimen Keningau masih diwakili Datuk Seri Panglima Dr. Jeffrey Kitingan, tokoh politik berpengalaman yang telah lama terlibat dalam perjuangan politik negeri.
Bagaimanapun, seperti lazimnya menjelang pilihan raya parlimen, perkembangan semasa menyaksikan kemunculan beberapa nama baharu yang mula mendapat perhatian masyarakat tempatan.
Antara yang semakin diperhatikan ialah tokoh korporat negeri, Datuk Azman Haji Roslan yang kini memegang jawatan sebagai Pengerusi Sabah Net Sdn Bhd.
Peranan beliau dalam sektor pembangunan digital negeri dilihat memberi dimensi berbeza kepada profil kepimpinannya, khususnya dalam usaha memperluaskan capaian teknologi dan pendidikan digital ke kawasan luar bandar.
Di bawah kepimpinan beliau, Sabah Net turut terlibat dalam pelbagai inisiatif memperkasa pembelajaran digital, termasuk kerjasama dengan Google Malaysia bagi memperkenalkan program pendidikan digital di sekolah pedalaman seperti SMK Keningau II.
Bagi kawasan pedalaman seperti Keningau, usaha memperluaskan akses teknologi dan pendidikan digital dilihat sebagai antara langkah penting dalam memperkasa pembangunan generasi muda.
Selain latar belakang profesional, Azman juga dikenali melalui penglibatannya dalam komuniti tempatan, termasuk pernah memainkan peranan sebagai Ketua Penaja Bersatu Keningau serta aktif dalam pelbagai program kemasyarakatan melalui organisasi seperti Persatuan Anak Seni Sabah (PERASA).
Di kawasan pedalaman, masyarakat lazimnya menilai kepimpinan bukan sekadar melalui retorik politik, sebaliknya berdasarkan kehadiran dan komitmen seseorang pemimpin bersama rakyat di peringkat akar umbi.
Seiring semakin hampirnya pilihan raya, dinamika politik di Parlimen P.180 Keningau dijangka terus menarik perhatian apabila beberapa nama mula disebut dalam percakapan masyarakat.
Apa pun, seperti kebiasaan dalam landskap politik pedalaman Sabah, keputusan akhirnya tetap berada di tangan rakyat yang akan menentukan siapa paling layak memikul amanah mewakili mereka.
