TAWAU: Seramai 14 peniaga bazar Ramadan di daerah ini dikenakan notis kesalahan selepas pemeriksaan dijalankan Pejabat Kesihatan Kawasan Tawau sepanjang tujuh hari pertama Ramadan.
Operasi yang melibatkan kira-kira 60 anggota itu memeriksa sebanyak 82 gerai dan premis jualan di beberapa lokasi tumpuan termasuk Fujimart, Sabindo serta kawasan parkir Bataras.
Pegawai Kesihatan Kawasan Tawau, Dr Shameer Khan Sulaiman berkata, antara kesalahan yang dikesan termasuk kegagalan mematuhi keperluan pakaian pengendali makanan di bawah Peraturan-Peraturan Kebersihan Makanan 2009.
Menurutnya, terdapat juga kes majikan menggaji pengendali makanan tanpa sijil latihan pengendalian makanan seperti yang diperuntukkan di bawah peraturan sedia ada.
“Selain itu, kita turut mengesan beberapa kes melibatkan kebersihan diri seperti berkuku panjang, memakai perhiasan tangan ketika mengendalikan makanan, tidak menghadiri kursus pengendali makanan serta penggunaan peralatan yang kurang bersih,” katanya ketika ditemui selepas Ops Bazar Ramadan dan Program Promosi Kesihatan Tibi 2026, Rabu.
Beliau berkata, sebanyak 20 lokasi bazar Ramadan dikenal pasti di sekitar Tawau dan pemeriksaan akan diteruskan secara berkala sehingga penghujung Ramadan bagi memastikan tahap kebersihan sentiasa dipatuhi.
Menurutnya, walaupun notis kesalahan dikeluarkan, tahap pematuhan dalam kalangan peniaga didapati semakin baik berbanding sebelum ini, namun pemantauan tetap diteruskan bagi memastikan makanan dijual selamat untuk pengguna.
Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata satu kes pembiakan nyamuk Aedes telah dibawa ke mahkamah susulan peningkatan kes denggi di daerah ini.
Katanya, pemilik premis berkenaan didenda RM3,500 selepas gagal mematuhi arahan walaupun telah dikompaun sebelum ini kerana membiarkan kawasan menjadi tempat pembiakan larva nyamuk Aedes.
“Setakat ini sebanyak 264 kes denggi direkodkan di Tawau. Sebelum ini terdapat peningkatan kes, namun kini menunjukkan trend penurunan hasil tindakan pencegahan yang lebih agresif termasuk gotong-royong dan kerjasama pelbagai agensi,” katanya.
Beliau berkata antara kawasan yang dikenal pasti sebagai kawasan berisiko ialah Taman Mas, Taman Semarak dan Kampung Titingan.
Katanya, pihak kesihatan akan terus mempergiatkan usaha kesedaran kebersihan serta melaksanakan program komuniti seperti COMBI bagi mengawal penularan denggi terutama menjelang musim perayaan.
