KOTA KINABALU: Pasukan Polis Marin Wilayah 4 Sabah berjaya membongkar aktiviti penyimpanan barangan lusuh dan sisa elektronik tanpa lesen menerusi Op Hazard yang dilaksanakan secara bersepadu bersama Lembaga Hasil Dalam Negeri dan Jabatan Alam Sekitar.
Operasi yang dijalankan serentak di seluruh negara itu menyaksikan dua lokasi di Sabah menjadi sasaran utama iaitu di Penampang dan Sandakan, yang dipercayai dijadikan sebagai stor penyimpanan e-waste secara haram.
Di Penampang, serbuan membawa kepada rampasan kira kira lapan tan bateri kereta yang disimpan tanpa kebenaran sah. Manakala di Sandakan, pelbagai jenis sisa elektronik turut dirampas termasuk bateri kereta, peralatan komputer dan mesin basuh.
Hasil pemeriksaan mendapati kedua dua premis gagal mengemukakan dokumen sah berkaitan aktiviti penyimpanan serta perniagaan barangan lusuh dan sisa elektronik tersebut. Lebih membimbangkan, semakan oleh pihak LHDN turut mendapati terdapat premis yang tidak mempunyai dokumen percukaian lengkap.

Komander PPM Wilayah 4 Sabah, ACP Ahmad Amri Abd Rahman berkata, operasi seumpama itu akan terus diperkasakan bagi mengekang kegiatan haram yang bukan sahaja mencemarkan alam sekitar malah menyebabkan ketirisan hasil negara.
“PPM Wilayah 4 Sabah akan terus komited memperhebatkan operasi bersama agensi penguatkuasaan lain dalam membanteras aktiviti penyimpanan dan pelupusan sisa berjadual secara tidak sah,” katanya dalam kenyataan.
Kes kini diserahkan kepada Jabatan Alam Sekitar untuk tindakan lanjut dan disiasat di bawah Peraturan Peraturan Kualiti Alam Sekeliling Sisa Terjadual 2005 serta Seksyen 77A 1 Akta Cukai Pendapatan 1967.
Nilai keseluruhan rampasan dianggarkan mencecah RM720,998.00.
Operasi ini dilihat sebagai langkah tegas pihak berkuasa dalam memastikan pematuhan undang undang serta melindungi alam sekitar daripada pencemaran akibat pengurusan sisa elektronik yang tidak terkawal.
