KOTA KINABALU: Pengerusi Pertubuhan Peladang Negeri Sabah, Datuk Mohd Nazri Abdullah, mengimbau kembali kenangan lama bersama dua rakan seperjuangan ketika berkhidmat di kerajaan Persekutuan lebih sedekad lalu selepas bertemu secara tidak sengaja pada Majlis Berbuka Puasa di Sabah International Convention Centre (SICC), Sabtu lalu.
Beliau berkata, pertemuan semula dengan sahabat lamanya, Datuk Rugi Ubi, mengembalikan memori ketika mereka sama-sama bertugas sebagai Pegawai Tugas-Tugas Khas kepada menteri di peringkat Persekutuan.
Menurutnya, ketika itu beliau berkhidmat di Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan Malaysia, manakala Rugi bertugas di Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri.
“Sudah lama kami tidak berjumpa. Beliau seorang sahabat yang baik dan sentiasa mengingati rakan-rakan lama walaupun masing-masing sudah membawa haluan berbeza dalam kerjaya,” katanya.
Mohd Nazri berkata, selain beliau dan Rugi, seorang lagi rakan rapat mereka ketika itu ialah Datuk Jamawi Jaafar yang turut bertugas sebagai Pegawai Tugas-Tugas Khas kepada Menteri Pembangunan Luar Bandar Malaysia pada masa sama.
Katanya, perjalanan mereka kemudian bertemu kembali dalam gelanggang politik apabila ketiga-tiga mereka bertanding dalam Pilihan Raya Umum Negeri (PRU) Sabah yang lalu sebagai calon parti yang mendokong Kerajaan Perpaduan MADANI.
“Namun, hanya Jamawi yang diberi kepercayaan oleh rakyat untuk memenangi kerusi yang ditandinginya dan kini beliau menggalas tanggungjawab sebagai Menteri Pertanian dan Industri Makanan Sabah,” katanya.
Mohd Nazri berkata, pertemuan singkat itu bukan sekadar mengeratkan kembali hubungan persahabatan lama, malah mengingatkan beliau kepada perjalanan kerjaya mereka yang bermula sebagai pegawai kerajaan sebelum masing-masing meneruskan peranan dalam arena kepimpinan dan politik.
“Walaupun masa berlalu dan tanggungjawab berubah, nilai persahabatan dan kenangan ketika berkhidmat bersama tetap kekal,” katanya.
