KOTA KINABALU: Pengerusi Pertubuhan Peladang Negeri Sabah, Datuk Mohd Nazri Abdullah merakamkan penghargaan tinggi terhadap jasa dan sumbangan Datuk Mokzani Ismail yang menamatkan perkhidmatan sebagai Pengarah Muzik Radio Televisyen Malaysia (RTM) selepas 35 tahun berbakti.
Nazri berkata, Mokzani bukan sahaja mencipta sejarah sebagai Pengarah Muzik paling lama berkhidmat, malah dikenali sebagai pegawai yang berdedikasi tinggi, konsisten serta memiliki keperibadian yang amat disenangi rakan sekerja.
“Saya mengucapkan selamat bersara kepada sahabat baik saya,Mokzani sebagai Pengarah Muzik RTM. Saya mengenali beliau sejak puluhan tahun dan kami pernah bekerja di bawah satu bumbung di bangunan RTM Angkasapuri pada tahun 2010,” katanya dalam satu kenyataan.
Menurut beliau, sepanjang tempoh perkenalan itu, Mokzani sentiasa menunjukkan sikap profesional, mudah mesra dan tidak pernah sombong walaupun memegang jawatan penting.
Nazri yang pernah berkhidmat sebagai Pegawai Tugas-Tugas Khas kepada Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan Malaysia ketika itu, Tan Sri Dr. Rais Yatim, berkata Mokzani sentiasa menghormati rakan serta menjaga hubungan persahabatan dengan baik.
“Mokzani seorang pegawai yang sangat baik, konsisten dalam menjalankan tugas, mudah mesra dan suka bergaul. Walaupun lama tidak berjumpa, apabila bertemu semula beliau tetap mesra dan sentiasa bertanya khabar,” katanya.
Beliau berkata, pertemuan terakhir mereka di Jakarta pada Januari lalu cukup menggambarkan keperibadian Mokzani yang tidak pernah berubah.
“Kali terakhir kami berjumpa di Jakarta pada 25 Januari 2026 lalu. Dari jauh lagi beliau memanggil nama saya dan kami sempat berbincang serta bertukar cerita. Itu menunjukkan betapa beliau sangat menghargai persahabatan,” katanya.
Nazri menegaskan, sumbangan Mokzani selama lebih tiga dekad dalam dunia penyiaran negara wajar dikenang kerana banyak membantu memperkukuh kualiti muzik dan produksi RTM.
Katanya, sepanjang menerajui bahagian muzik, Mokzani dikenali sebagai individu yang komited memartabatkan industri muzik tempatan, selain menjadi mentor kepada ramai bakat baharu dalam bidang berkenaan.
“Beliau bukan sahaja pentadbir yang cekap, tetapi juga seorang insan yang berhati mulia, merendah diri dan sentiasa bersedia membantu rakan sekerja dan siapa saja yang memerlukan tanpa mengira latar belakang.
“Saya yakin pengalaman luas dan kepakaran beliau masih amat diperlukan, dan mendoakan agar Mokzani terus cemerlang sekiranya menceburi bidang baharu selepas persaraan ini,” katanya.
Nazri turut mendoakan agar Mokzani dikurniakan kesihatan yang baik serta terus menyumbang kepada pembangunan industri kreatif negara dalam apa jua kapasiti pada masa hadapan.
