KOTA KINABALU: Isteri Ketua Menteri, Datin Seri Panglima Datuk Hajah Juliah Salag, mengetuai Program Pembungkusan Kuih-Muih Hari Raya Aidilfitri yang akan disumbangkan kepada anggota pasukan keselamatan dan petugas kesihatan negeri ini sempena sambutan Aidilfitri tahun ini.
Program tahunan anjuran Biro Kebajikan Pertubuhan Muafakat Titipan Amal Isteri Wakil Rakyat Sabah (MUTIARA GRS) itu diadakan di Rumah MUTIARA GRS dengan penyertaan pemimpin dan ahli pertubuhan berkenaan yang bergotong-royong menyediakan bungkusan kuih raya.
Juliah yang juga Yang Dipertua MUTIARA GRS berkata, inisiatif berkenaan merupakan tanda penghargaan kepada anggota keselamatan dan petugas kesihatan yang terus komited menjalankan tugas demi keselamatan serta kesejahteraan rakyat, termasuk ketika musim perayaan.
Beliau berkata, bagi program tahun ini, MUTIARA GRS menyediakan sebanyak 30 kotak mengandungi 300 bungkusan kuih raya selain 15 bakul tangan sumbangan untuk diagihkan kepada penerima.
Menurutnya, semua bungkusan itu akan diserahkan kepada Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor, pada 10 Mac depan sempena Majlis Penyerahan Kuih Muih Hari Raya Aidilfitri Tahun 2026 kepada Anggota Pasukan Keselamatan dan Petugas Kesihatan, sebelum diagihkan kepada agensi berkaitan.
“Program ini bukan sahaja menjadi wadah menyemarakkan semangat kebersamaan dalam kalangan ahli MUTIARA GRS, malah turut memberi peluang kepada kita berkongsi kegembiraan Aidilfitri dengan mereka yang berkhidmat untuk masyarakat,” katanya.
Menurut Naib Yang Dipertua I merangkap Pengerusi Biro Kebajikan MUTIARA GRS, Datin Seri Panglima Linda Ewit, program pembungkusan kuih raya itu menjadi antara aktiviti tahunan MUTIARA GRS yang mencerminkan semangat kebajikan dan keprihatinan pertubuhan itu terhadap golongan yang sentiasa berada di barisan hadapan dalam menjaga keselamatan serta kesihatan rakyat Sabah.
