TAWAU: Seorang Pembantu Operasi Jabatan Kerja Raya Negeri Sabah mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Khas Rasuah Tawau, hari ini, atas 39 pertuduhan menerima suapan lebih RM30,000 berkaitan kerja penyelenggaraan jalan di daerah ini.
Tertuduh, Abdul Rahim Salleh, 59, membuat pengakuan itu selepas semua pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim, YA Puan Elsie Primus.
Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa menerima wang suapan antara RM200 hingga RM2,200 secara berperingkat daripada dua individu iaitu pengurus akaun dan penyelia tapak sebuah syarikat pembinaan.
Suapan berkenaan sebagai dorongan supaya tidak memantau dan menyelia kerja-kerja berkaitan Kontrak No. HQ.46/2019(S) bagi penyelenggaraan Jalan Sungai Mas, Jalan Maria dan Jalan Mull di Tawau.
Kesalahan didakwa dilakukan antara 5 Mei 2020 hingga 1 Ogos 2022 di sekitar daerah ini termasuk di sebuah bank di Jalan Utara.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Wardah Ishhar, manakala tertuduh diwakili peguam daripada Tetuan Johari, Zelika & Amin.
Kes dikemukakan mengikut Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.
Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM40,000 dengan RM15,000 daripadanya dibayar secara tunai serta dua penjamin.
Selain itu, mahkamah menetapkan syarat tambahan iaitu tertuduh perlu melapor diri di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Tawau sebulan sekali, tidak mengganggu saksi pendakwaan serta dilarang memohon pasport atau dokumen perjalanan antarabangsa.
Sekiranya memiliki pasport, dokumen itu perlu diserahkan kepada mahkamah.
Mahkamah menetapkan 11 Mei depan sebagai tarikh sebutan semula kes bagi pengurusan kes.
