PUTATAN: Inisiatif Meja Ekonomi Tanjung Keramat dilihat mampu menjadi penggerak kepada pembangunan para usahawan dan peniaga setempat bagi memperkukuh ekonomi di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) berkenaan.
Wakil rakyat Tanjung Keramat; Shah Alfie Yahya insiatif tersebut menjadi salah satu teras manifestonya dahulu, di mana ia dilihat bakal menjadi pemangkin kepada golongan tersebut dan seterusnya merancakkan industri yang pelbagai.
Menurut beliau, selain berhasrat komuniti yang berdaya saing dalam bidang niaga dan keusahawanan, pelan Meja Ekonomi Tanjung Keramat juga boleh melahirkan peluang pekerjaan dan memacu ekonomi di Putatan secara amnya.
“Kami di Tanjung Keramat sedang membangunkan inisiatif Meja Ekonomi Tanjung Keramat yang mana melalui inisiatif ini, kita mahu memberi lebih banyak sokongan kepada peniaga kecil, usahawan mikro dan peniaga tempatan.
“Ini supaya mereka dapat berkembang, meningkatkan pendapatan dan memperkukuhkan ekonomi komuniti kita sendiri.
“Saya juga ingin mengambil kesempatan mengucapkan terima kasih kepada semua peniaga yang berniaga dengan penuh semangat, serta kepada para penduduk yang terus menyokong peniaga tempatan, “katanya.
Beliau berkata demikian selepas mengadakan sesi walkabout bertemu para peniaga dari Tanjung Keramat di bazar Aeropod, Kota Kinabalu, pada Isnin.
Mengulas mengenai program itu, Shah Alfie berkata, rata-rata peniaga ditemui merupakan pemain industri makanan dan minuman (F&B) yang mana mereka menjadikan platform bazar bagi mengetengahkan hasil produk mereka.
“Bazar Ramadan bukan sekadar tempat membeli juadah berbuka puasa, tetapi ia juga merupakan satu ruang ekonomi yang penting kepada penduduk setempat.
“Saya juga difahamkan terdapat peniaga di sini adalah merupakan penduduk tempatan Tanjung Keramat yang berusaha menambah pendapatan mereka melalui perniagaan kecil sepanjang bulan Ramadan ini, “katanya.
Jelas beliau lagi, pelbagai insiaitif dalam Meja Ekonomi Tanjung Keramat akan diketengahkan pihaknya selain menjadi pihak pemudah cara kepada para peniaga setempat mendapatkan bantuan perniagaan yang disediakan pihak Kerajaan Negeri Sabah dari semasa ke semasa.
