LAHAD DATU: Kerjasama antara institusi perbankan Islam dan institusi masjid di daerah ini terus diperkasa menerusi Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri yang berlangsung di Masjid Nurul Aman, pagi Sabtu.
Pengerusi Masjid Nurul Aman, Dr Haji Mohammad Ayub Yaacob berkata, kolaborasi bersama Maybank Islamic Berhad merupakan satu inisiatif proaktif dalam menyatukan masyarakat setempat melalui penganjuran aktiviti yang memberi manfaat.
Majlis itu turut dihadiri Pengurus Maybank Cawangan Lahad Datu, Erawati Mappayompa serta wakil Maybank Islamic, Hendra Octovian Mohd.
Menurut beliau, kehadiran barisan pengurusan Maybank mencerminkan komitmen sektor perbankan dalam menyokong program kemasyarakatan, selain merapatkan hubungan antara institusi kewangan dan komuniti setempat.
Katanya, penganjuran majlis tersebut bertujuan mengukuhkan hubungan silaturahim serta memperkasakan ukhuwah dalam kalangan masyarakat tanpa mengira latar belakang.
“Program seperti ini bukan sahaja merapatkan hubungan sesama kariah, malah membuka ruang interaksi lebih luas antara masyarakat dan pihak institusi,” katanya.
Dalam pada itu, pihak masjid turut merakamkan penghargaan atas sokongan berterusan yang diberikan oleh Maybank Islamic dalam memperkukuh kerjasama antara sektor korporat dan institusi agama.
Beliau turut menegaskan bahawa pihak masjid sentiasa terbuka untuk menjalin kerjasama dengan mana mana institusi kewangan Islam dalam usaha memperkasa program pembangunan ummah.
“Kita berharap kerjasama ini dapat diteruskan dan diperkembangkan melalui pelbagai inisiatif lain yang memberi impak positif kepada kesejahteraan masyarakat di Lahad Datu,” ujarnya.
