KOTA KINABALU: Polis bersama pekerja lori sampah cuba mencari anggota badan lain selepas penemuan kaki dan tangan manusia di sebuah tempat pembuangan sampah di Taman Indah Permai, di sini, pagi tadi.
Info X dimaklumkan, pencarian itu dilakukan di satu lagi tempat pembuangan sampah berhampiran, selain menyelongkar semula sampah yang sudah dimasukkan ke dalam lori sampah.
Tindakan itu bagi mencari kemungkinan anggota badan lain iaitu sebelah tangan dan kaki, badan serta kepala dibuang di tempat pembuangan sampah lain atau sudah dimasukkan ke dalam lori.
Bagaimanapun, setakat jam 11 pagi ini, siasatan dan pencarian dilakukan polis dengan bantuan pekerja lori sampah tidak menemukan anggota badan lain.
Terdahulu, seorang pekerja lori sampah terkejut apabila satu tangan manusia bermula dari tapak tangan hingga ke pangkal bahu tiba-tiba terjatuh dari tong sampah ketika dia mahu memasukkan sampah ke dalam lori.
Kejadian berlaku pada kira-kira jam 6.30 pagi tadi, ketika pekerja lori sampah sedang menjalankan kerja rutin memasukkan sampah ke dalam lori dari pusat pembuangan sampah.
Berikutan penemuan itu, pekerja terbabit bersama rakannya menghentikan kerja memasukkan sampah ke dalam lori untuk melihat apa yang terkandung dalam tong sampah sebelum menemui satu lagi anggota manusia, iaitu kaki, bermula dari tapak kaki hingga ke pangkal paha.
Anggota badan manusia itu dipercayai dipotong sebelum dibalut atau dimasukkan ke dalam plastik sampah hitam sebelum dibuang ke tong sampah.
Polis setakat ini belum mendapat sebarang petunjuk mengenai penemuan itu dan siasatan masih dijalankan bagi mencari kemungkinan anggota badan lain dibuang di lokasi berasingan.
Sementara itu, Pemangku Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Superintendan Syed Lot Syed Ab Rahman, ketika dihubungi mengesahkan kejadian berkenaan.
Katanya, siasatan lanjut masih diteruskan dan perkembangan terkini akan dimaklumkan
