SEMPORNA: Operasi mencari dan menyelamat (SAR) seorang mangsa yang dipercayai hilang di laut susulan perlanggaran dua buah bot penumpang di Perairan Seafest Semporna, pada Jumaat lalu, berakhir selepas mangsa ditemui meninggal dunia pagi ini.
Bilik Kawalan Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Air Semporna menerima panggilan kecemasan daripada Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) pada jam 3.30 petang, 9 Januari lalu, memaklumkan kejadian perlanggaran membabitkan dua bot penumpang yang berlaku sekitar jam 8 pagi hari sama.
Menurut laporan APMM, kejadian itu melibatkan tujuh mangsa dengan lima orang berada di bot pertama dan dua orang di bot kedua. Enam mangsa dilaporkan selamat, manakala seorang mangsa dari bot pertama dipercayai hilang di laut.
Susulan itu, operasi SAR digerakkan pada jam 3.50 petang dengan jarak lokasi kejadian kira-kira tujuh kilometer dari balai.
Operasi diketuai oleh Komander Operasi, PBK I Mohd Akhimullah bin Adan bersama empat anggota BBP Air Semporna serta kerjasama APMM, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).
Pada hari ketiga operasi hari ini SAR diteruskan seawal jam 6.30 pagi dengan radius pencarian diperluaskan menggunakan aset sedia ada termasuk bot dan peralatan menyelamat.
Pada jam 8.37 pagi, pihak bomba menerima makluman daripada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Semporna bahawa mangsa telah ditemui oleh orang awam.
Pasukan SAR segera bergerak ke lokasi pada jam 8.45 pagi sebelum membawa mangsa ke Jeti Marin untuk diserahkan kepada pihak PDRM bagi tindakan lanjut.
Mangsa dikenal pasti sebagai Rosman bin Kandau, 24 tahun berbangsa Bajau Laut dan bukan warganegara.
Operasi SAR ditamatkan sepenuhnya pada jam 9.44 pagi tadi.
