LABUAN: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Labuan berjaya menggagalkan cubaan menyeludup 540 karton minuman keras berjenama tanpa cukai bernilai hampir RM200,000 dalam satu operasi di perairan Labuan, malam tadi.
Pengarah Zon Maritim Labuan, Izwanhadi bin Hj Idros berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 8.15 malam ketika Bot PETIR 90 sedang melaksanakan Op SEJAHTERA 1/2022 dan Op TIRIS 3.0.
Menurut beliau, pihaknya mengesan tiga bot dalam keadaan mencurigakan pada jarak 0.4 batu nautika tenggara Pulau Papan.
“Ketika dihampiri untuk pemeriksaan, bot-bot terbabit bertindak memecut laju bagi melarikan diri sehingga mencetuskan aksi kejar-mengejar di laut.
“Dua daripada bot tersebut berpatah balik ke kawasan Methanol Labuan, manakala sebuah lagi tersadai di Pulau Balangkasan selepas dipercayai ditinggalkan suspek yang melompat dan melarikan diri ke pulau berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.
Pemeriksaan lanjut ke atas bot yang ditinggalkan menemui muatan sarat dengan 540 karton minuman keras pelbagai jenama yang dipercayai cuba diseludup keluar tanpa cukai.
Bagaimanapun, tiada sebarang tangkapan dibuat selepas pemeriksaan dan rondaan dijalankan di sekitar pulau berkenaan.
Bot bersama muatan rampasan kemudian dibawa ke Jeti Maritim Labuan untuk tindakan lanjut oleh pegawai penyiasat. Kes disiasat di bawah undang-undang penyeludupan serta peraturan kastam yang berkuat kuasa.
Sehubungan itu, Maritim Malaysia menyeru orang ramai khususnya komuniti maritim agar terus bekerjasama menyalurkan maklumat berkaitan sebarang aktiviti mencurigakan di laut melalui talian kecemasan 999 atau menghubungi Pusat Operasi Zon Maritim Labuan di talian 087-427999 bagi tindakan segera.
