KOTA KINABALU: Seramai 1,799 Ketua Isi Rumah melibatkan 4,652 penduduk terjejas akibat bencana banjir yang melanda beberapa daerah di Sabah setakat jam 4.00 petang, 21 Februari 2026.
Berdasarkan infografik Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sabah, tiga daerah terlibat iaitu Kota Marudu, Pitas dan Paitan dengan keseluruhan 79 kampung terjejas.
Daerah Pitas dan Paitan menunjukkan trend peningkatan mangsa, manakala Kota Marudu kekal.
Di Kota Marudu, sebanyak 778 Ketua Isi Rumah melibatkan 1,923 penduduk daripada 12 kampung direkodkan terjejas.
Di Pitas pula, 787 Ketua Isi Rumah membabitkan 2,013 penduduk dari 30 kampung terkesan dan jumlah itu dilaporkan meningkat.
Sementara itu di Paitan, 234 Ketua Isi Rumah melibatkan 716 penduduk daripada 37 kampung turut terjejas dan mencatat peningkatan.
Sebanyak 25 Pusat Pemindahan Sementara telah dibuka bagi menempatkan mangsa banjir di ketiga tiga daerah berkenaan.
Antara pusat pemindahan yang dibuka termasuk beberapa sekolah, dewan orang ramai dan masjid di Kota Marudu, Pitas dan Paitan.
Tiada kematian dilaporkan setakat ini.
Pihak berkuasa memaklumkan situasi banjir di Sabah menunjukkan trend meningkat dan orang ramai dinasihatkan agar sentiasa berwaspada serta mematuhi arahan pihak berkuasa dari semasa ke semasa.
