LAHAD DATU: Program tadarus al-Quran anjuran Syukbah Wanita Masjid Nurul Aman Taman Aman Jaya berlangsung dalam suasana penuh penghayatan dan meriah pada Ahad, 8 Mac 2026 bersamaan 19 Ramadan 1447H dengan kehadiran kira-kira 100 peserta.
Menurut Pengarah Program, Hajah Annie Yusuf, program yang bermula sekitar jam 7 pagi itu berjaya menghimpunkan ahli-ahli serta barisan jawatankuasa bagi bersama-sama mengimarahkan Ramadan melalui bacaan al-Quran sebelum berakhir kira-kira jam 10 pagi.
Majlis dimulakan dengan ucapan alu-aluan daripada pengerusi program yang menzahirkan rasa syukur kerana semua peserta dapat berkumpul untuk bertadarus dan menghayati kalam Allah.
Dalam ucapannya, beliau merakamkan penghargaan kepada semua ahli yang hadir, barisan jawatankuasa serta guru pembimbing yang memberi sokongan dalam menjayakan program berkenaan.
Menurutnya, program tadarus bukan sekadar memperdengarkan bacaan ayat suci al-Quran, malah menjadi ruang untuk menyegarkan hati, mengeratkan ukhuwah sesama ahli serta meluruskan niat dalam menuntut ilmu.
Beliau turut memaklumkan bahawa sambutan pada tahun ini lebih meriah dengan kehadiran peserta yang dilihat meningkat berbanding program yang diadakan pada Ramadan tahun lalu.
Sepanjang program itu, para peserta bertadarus secara bergilir-gilir sambil menyemak bacaan masing-masing bagi memastikan kelancaran serta ketepatan bacaan al-Quran.
Beliau turut mengingatkan para peserta mengenai tiga perkara penting ketika menyertai tadarus, iaitu memastikan niat dilakukan kerana Allah, menjaga adab serta memberi tumpuan penuh ketika rakan lain membaca.
Selain itu, peserta juga digalakkan untuk terus istiqamah membaca al-Quran walaupun sedikit, namun dilakukan secara berterusan serta membawa semangat tadarus tersebut ke dalam kehidupan seharian.
Pada masa sama, beliau turut mengajak semua yang hadir untuk menyumbang dalam usaha kebajikan dengan membeli kupon wakaf bernilai RM50 bagi setiap lot sebagai amalan berterusan.
Program itu diharap dapat memberi manfaat kepada semua peserta selain menjadikan setiap huruf yang dibaca sebagai cahaya dalam kehidupan dan penenang ketika menghadapi kesusahan.
