KOTA KINABALU: Ketua Pegawai Eksekutif (CEO), Sabah Energy Corporation Sdn Bhd (SEC), Datuk Ir. Adzmir Abd Rahman, menganjurkan Majlis Hari Raya Aidilfitri di kediamannya di Jalan Lintas, Kepayan Highway, di sini, semalam.
Majlis yang diadakan pada 3 Syawal itu dihadiri pelbagai lapisan tetamu terdiri daripada rakan industri, pemimpin masyarakat serta kenalan rapat, sekali gus mencerminkan semangat perpaduan dan keharmonian sempena sambutan Aidilfitri.
Adzmir berkata, penganjuran rumah terbuka itu bukan sekadar tradisi tahunan, sebaliknya menjadi platform penting untuk mengeratkan hubungan silaturahim selain memperkukuh jaringan kerjasama antara pihak berkepentingan.
“Majlis seperti ini memberi ruang kepada kita untuk saling bermaafan, berkongsi kegembiraan dan memperkukuh hubungan yang telah terjalin,” katanya.
Menurutnya, majlis seumpama itu juga selari dengan aspirasi memperkukuh nilai kebersamaan serta semangat muhibah dalam kalangan masyarakat berbilang kaum di negeri ini.
