KENINGAU: Majlis berbuka puasa bersama Ketua-Ketua Parti Komponen Gabungan Rakyat Sabah (GRS) Bingkor yang berlangsung di Bandukan Resort, di sini, pada Jumaat menjadi platform mengeratkan hubungan silaturahim serta memperkukuhkan semangat kebersamaan dalam kalangan pimpinan parti di kawasan berkenaan.
Program yang diadakan sempena bulan Ramadan itu merupakan inisiatif Ketua Pemuda GRS Keningau merangkap Setiausaha Pemuda GRS Pusat, Rafie Robert, bersama Sekretariat Pemuda GRS Keningau bagi menghimpunkan pimpinan parti komponen di Bingkor dalam suasana penuh muhibah.
Rafie berkata, penganjuran majlis seumpama itu bukan sahaja menjadi ruang memperkukuh hubungan sesama pimpinan parti komponen GRS, malah turut menyemai semangat kerjasama yang lebih erat dalam usaha memperkasa perjuangan gabungan berkenaan di peringkat akar umbi.
“Bulan Ramadan adalah masa terbaik untuk mempereratkan silaturahim dan memperkukuhkan semangat kebersamaan dalam kalangan pemimpin serta ahli parti.
“Melalui pertemuan seperti ini, kita dapat memperkukuhkan perpaduan dan kerjasama demi memastikan perjuangan parti terus memberi manfaat kepada masyarakat,” katanya ketika ditemui pada majlis berkenaan.
Pada majlis itu, turut diadakan penyerahan sumbangan bakul makanan kepada wakil setiap parti komponen untuk disampaikan kepada keluarga yang memerlukan sebagai tanda keprihatinan terhadap golongan kurang berkemampuan di kawasan berkenaan.
Beliau berkata, usaha kebajikan itu selaras dengan aspirasi kepimpinan GRS yang sentiasa menitikberatkan kebajikan rakyat, khususnya golongan memerlukan.
“Semoga sumbangan kecil ini dapat membantu meringankan beban penerima, di samping menyemarakkan lagi semangat berkongsi rezeki sepanjang bulan Ramadan,” katanya.
Turut hadir memeriahkan majlis ialah Ketua Bahagian Parti Gagasan Rakyat Sabah (PGRS) Liawan, Datuk Azman Hj Ruslan, bersama rombongan.
“Majlis berkenaan diharap dapat terus menjadi platform memperkukuh perpaduan, kerjasama serta semangat kebersamaan dalam kalangan pimpinan parti komponen GRS di Bingkor, sekali gus membawa manfaat kepada kesejahteraan masyarakat setempat”, kata Rafie.
