LAHAD DATU: Majlis Bacaan Yasin, Tahlil, Doa Selamat dan Ceramah bersempena Peringatan Peristiwa Tanduo telah diadakan di Masjid Ar Raudhah, Lahad Datu petang tadi dengan kehadiran pegawai kanan dan anggota ESSCOM.
Program anjuran Pejabat Daerah Lahad Datu bersama Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah JHEAINS itu diadakan sebagai tanda mengenang pengorbanan pasukan keselamatan dalam mempertahankan kedaulatan negara semasa insiden pencerobohan di Kampung Tanduo dan serangan pengganas di Kampung Sri Jaya Simunul, Semporna pada tahun 2013.
Majlis dimulakan dengan bacaan Yasin, tahlil dan doa yang dipimpin oleh Imam Daerah Lahad Datu merangkap Pegawai Penguat Kuasa Agama JHEAINS, Alfadil Ustaz Mohammed Fahmy bin Abdul Rahman bersama Imam Kariah Masjid Ar Raudhah.
Program kemudian diteruskan dengan tazkirah ringkas yang disampaikan oleh Imam Masjid Ar Raudhah merangkap Jurunikah dan Wali Raja, Alfadil Ustaz Sudirman bin Moh Saleng.
Hadir sama memeriahkan majlis ialah ACP Azhari bin Nusi yang mewakili Komander ESSCOM, Pengerusi Masjid Ar Raudhah Daerah Lahad Datu Tuan Haji Sari @ Usari bin Arshad serta Pegawai Tadbir Agama Lahad Datu Alfadil Ustaz Mardi bin Arifin.
Majlis tahunan ini diadakan bagi memperingati pengorbanan anggota keselamatan yang terkorban semasa mempertahankan kedaulatan negara dalam insiden pencerobohan kumpulan bersenjata asing di Kampung Tanduo serta serangan di Kampung Sri Jaya Simunul.
Peristiwa tersebut turut membawa kepada pewartaan Zon Selamat Sabah Timur ESSZone dan penubuhan Eastern Sabah Security Command ESSCOM pada tahun 2013.
Majlis turut diakhiri dengan majlis berbuka puasa dan solat tarawih yang disertai komuniti setempat serta ketua jabatan dan agensi keselamatan, penguatkuasaan serta pertahanan Persekutuan dan Negeri yang berpusat di daerah Lahad Datu.
Dalam majlis tersebut, masyarakat turut diseru supaya mengambil iktibar daripada peristiwa Tanduo dengan terus membantu kerajaan dan pasukan keselamatan dalam memastikan keselamatan dan ketenteraman awam sentiasa terpelihara.
Tragedi tersebut kekal terpahat dalam ingatan khususnya dalam kalangan anggota Polis Diraja Malaysia, Angkatan Tentera Malaysia dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia yang berjuang mempertahankan kedaulatan negara.
Antara wira negara yang terkorban dalam pertempuran di Kampung Tanduo ialah Allahyarham ASP Zulkifli Mamat, Allahyarham Sarjan Sabarudin Daud, Allahyarham Koperal Ahmad Hurairah bin Ismail dan Allahyarham Koperal Ahmad Farhan Ruslan.
Manakala wira yang terkorban dalam pertempuran di Kampung Sri Jaya Simunul Semporna ialah Allahyarham ACP Ibrahim Lebar, Mendiang DSP Michael Padel, Allahyarham Sarjan Mejar Detektif Baharin Hamit, Allahyarham Sarjan Mejar Aziz Sarikun, Allahyarham Sarjan Sokongan Salam Togiran serta Allahyarham Koperal Mohd Azrul Tukiran.
Orang ramai diseru untuk terus mendoakan kesejahteraan para wira negara yang telah berkorban demi mempertahankan kedaulatan tanah air.
