KOTA KINABALU: Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan, Datuk Jamawi Jaafar mempengerusikan Sesi Libat Urus Industri Unggas di Wisma Pertanian, di sini, hari ini.
Sesi itu turut disertai seramai 73 orang yang terdiri daripada penternak ayam tempatan, pengimport ayam serta pengilang makanan haiwan dalam usaha menyelaras isu bekalan dan harga pasaran.
Turut hadir Setiausaha Tetap Kementerian, Datuk Leonard Stephen Poyong; Pengarah Jabatan Perkhidmatan Veterinar Sabah, Dr. Zul Bahar Haji Abdul Rashid; Presiden Persatuan Pengimport Makanan dan Daging Beku Sabah, Lim Young Peing; dan Pengerusi Rastamas Group, Datuk Md. Tahir Picho yang juga pengusaha ayam.
Jamawi berkata, pihaknya memahami keperluan untuk mengimport bahagian ayam tertentu khususnya sayap, paha dan dada bagi memenuhi permintaan pasaran dan keperluan industri makanan.
Pada masa sama, beliau menegaskan semua pemain industri mesti mematuhi peraturan yang telah ditetapkan kerajaan termasuk dari segi status halal, penentuan harga serta keperluan import ayam dari luar negara.
“Kementerian akan terus memastikan penternak tempatan diberi keutamaan dan sokongan dalam usaha memastikan bekalan daging ayam dan telur ayam negeri ini kekal stabil,” katanya.
Jamawi berkata, kementeriannya turut bersetuju menubuhkan jawatankuasa perundingan antara pengusaha, pengimport dan pengilang makanan haiwan bagi memudahkan proses rundingan secara menang-menang untuk mencapai objektif yang telah diputuskan dalam sesi libat urus tersebut.
Ini susulan cadangan Md. Tahir agar satu jawatankuasa melibatkan tiga pihak utama iaitu penternak tempatan, pengimport dan pengeluar makanan haiwan ditubuhkan bagi menyelaras isu bekalan dan harga secara bersepadu.
Jamawi turut memaklumkan kementeriannya akan mengadakan mesyuarat sekurang-kurangnya tiga kali sebulan bagi membantu memastikan pengeluaran tempatan lebih stabil dan sasaran tahap sara diri (SSL) 100 peratus dapat dicapai.
Beliau menegaskan beliau akan berusaha melaksanakan amanah sebaik mungkin demi kepentingan rakyat Sabah.
Sementara itu, Lim menyifatkan sesi libat urus berkenaan sebagai yang julung-julung kali diadakan seumpamanya dan merakamkan penghargaan kepada Jamawi kerana menghimpunkan semua pemain industri untuk berdialog secara terbuka bersama menteri.
