KUALA LUMPUR: Pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) perlu diselesaikan secara tuntas dan berani sebelum Pilihan Raya Umum akan datang bagi memastikan hak Sabah dan Sarawak terus terpelihara dalam kerangka Persekutuan, tegas Ahli Dewan Negara (Senator), Datuk Bobbey Suan.
Beliau berkata, selepas lima tahun isu berkenaan berulang kali dibangkitkan di Parlimen dan Dewan Negara, sudah tiba masanya keputusan muktamad dicapai selaras semangat Perlembagaan dan seruan Yang di-Pertuan Agong agar perkara berkaitan hak wilayah diselesaikan secara menyeluruh dan harmoni.
Menurutnya, MA63 adalah asas pembentukan Malaysia yang menyatukan Tanah Melayu, Sabah dan Sarawak dalam satu Persekutuan berdaulat, justeru hak-hak wilayah seperti termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan perlu dihormati dan dilaksanakan dengan penuh tanggungjawab.
“Sebarang perbezaan pandangan berkaitan MA63 hendaklah diselesaikan secara matang melalui rundingan institusi dan saluran perundangan, dengan Kerajaan Persekutuan bersikap terbuka, profesional serta konstruktif demi perpaduan negara”, katanya ketika membahaskan Titah Diraja di Dewan Negara pada Khamis.
Menyentuh isu petroleum, beliau berkata walaupun perkara itu tidak dinyatakan secara spesifik dalam teks MA63, ia tetap berkait rapat dengan kerangka pembahagian kuasa dan hasil antara Persekutuan dan wilayah.
“Sabah dan Sarawak adalah penyumbang utama industri minyak dan gas negara. Apabila isu ini dibangkitkan, ia bukan ancaman kepada Persekutuan tetapi tuntutan berasaskan hak yang wajar dirunding secara matang dan berkerangka,” katanya.
Beliau turut merujuk pendirian Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor, yang menegaskan pelaksanaan 40 peratus hasil bersih Persekutuan kepada Sabah perlu dilaksanakan selaras Perkara 112C dan 112D serta Jadual Kesepuluh Perlembagaan Persekutuan.
Menurutnya, tuntutan itu berlandaskan prinsip keadilan fiskal dan pembangunan saksama, terutama ketika Sabah masih berdepan cabaran asas seperti bekalan air, elektrik dan infrastruktur jalan raya.
Selain MA63, Bobbey turut menekankan kepentingan memperkukuh integriti, di samping menangani ancaman keselamatan digital termasuk jenayah penipuan dalam talian yang semakin membimbangkan dan memberi kesan langsung kepada kesejahteraan rakyat.
Mengulas aspek keselamatan, Bobbey berkata ancaman masa kini tidak lagi terhad kepada sempadan fizikal, sebaliknya semakin serius di ruang digital termasuk penyebaran maklumat palsu, manipulasi teknologi ‘deepfake’, ekstremisme dan jenayah siber.
Katanya, kes penipuan dalam talian dan kegiatan scammer semakin membimbangkan apabila ramai rakyat kehilangan wang simpanan akibat taktik licik sindiket jenayah.
Beliau menggesa kerajaan memperkukuh undang-undang berkaitan jenayah siber dan mengambil tindakan tegas tanpa kompromi, termasuk mempertimbangkan hukuman muflis serta penjara mandatori terhadap pelaku yang disabitkan kesalahan.
Selain itu, Bobbey mencadangkan langkah proaktif seperti memperluas literasi digital dan kewangan hingga ke peringkat akar umbi, mewujudkan pusat respons pantas bagi pembekuan segera akaun mencurigakan serta memperkukuh kerjasama antara bank, syarikat telekomunikasi dan agensi penguat kuasa bagi memutuskan rangkaian sindiket secara lebih bersepadu.
“Keselamatan digital hari ini adalah sebahagian daripada keselamatan negara. Kita tidak boleh membiarkan rakyat terus menjadi mangsa,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Bobbey menyentuh polemik cadangan pembukaan konsulat India di Sabah yang menurutnya perlu dilihat secara rasional dan berasaskan fakta.
Katanya, dalam amalan diplomatik antarabangsa, pembukaan konsulat adalah perkara lazim bagi memudah cara urusan perdagangan, pelaburan, pendidikan, pelancongan serta kebajikan warganegara.
Pada masa sama, beliau menegaskan keperluan strategik pembukaan konsulat Filipina juga wajar dipertimbangkan memandangkan jumlah warganegaranya yang ramai di Sabah serta pelbagai isu dokumentasi dan sosial yang memerlukan penyelesaian rasmi melalui saluran kerajaan-ke-kerajaan.
Sehubungan itu, beliau memohon Menteri Luar Negeri menjelaskan secara terbuka rasional, skop fungsi dan implikasi pembukaan konsulat berkenaan bagi mengelakkan salah faham serta persepsi negatif yang tidak berasas.
Mengakhiri perbahasan, beliau berkata Titah Diraja menuntut komitmen berterusan terhadap reformasi institusi, pengukuhan integriti, jaminan keselamatan dan pelaksanaan semangat MA63 secara bertanggungjawab.
“Negara hanya akan benar-benar progresif apabila kuasa diurus dengan amanah, institusi diperkukuh tanpa pilih kasih, rakyat dilindungi daripada ancaman baharu dan keadilan dilaksanakan secara seimbang antara Persekutuan dan wilayah,” katanya.
