KOTA KINABALU: Lembaga Pembangunan Perumahan dan Bandar (LPPB) berjaya membina sebanyak 29,443 unit Perumahan Awam Kos Rendah (PAKR) di seluruh Sabah sepanjang hampir enam dekad penubuhannya, sekali gus membuktikan peranan strategik agensi itu dalam merealisasikan agenda perumahan rakyat negeri ini. Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor berkata, selain pembinaan perumahan awam kos rendah, LPPB turut memainkan peranan penting dalam pembangunan Rumah Mampu Milik (RMM) serta projek-projek komersial yang membantu kerajaan negeri merapatkan jurang sosio-ekonomi antara penduduk bandar dan luar bandar secara lebih tersusun dan menyeluruh.
Beliau memuji usaha berterusan LPPB yang konsisten melaksanakan projek perumahan di seluruh Sabah, selaras dengan visi kerajaan negeri untuk memastikan pembangunan yang inklusif, seimbang dan berimpak tinggi kepada rakyat.
“Kerajaan Negeri amat menghargai peranan dan sumbangan besar LPPB sebagai sebuah agensi utama kerajaan dalam sektor pembangunan perumahan dan bandar,” katanya ketika berucap pada Majlis Makan Malam Ulang Tahun Ke-59 LPPB di Grand Ballroom, The Magellan Sutera Resort, di sini, pada Sabtu Beliau berkata, pencapaian berkenaan mencerminkan kematangan LPPB yang kini melangkah ke usia 59 tahun, selain keupayaannya untuk terus kekal relevan, berdaya saing dan berkesan dalam mendepani cabaran pembangunan perumahan semasa.
“Yang paling penting, kita perlu memastikan LPPB bukan sahaja bertahan, malah terus berkembang dan menyumbang secara signifikan kepada kesejahteraan rakyat Sabah,” katanya Menurutnya, seiring matlamat Belanjawan Negeri Sabah 2026 yang memberi penekanan kepada pemacuan pembangunan demi kesejahteraan rakyat, kerajaan negeri melalui Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah terus memberi perhatian serius terhadap penyediaan perumahan awam, termasuk perumahan kos rendah dan rumah mampu milik di seluruh negeri.
Hajiji berkata, bagi tujuan itu, kerajaan negeri melalui LPPB akan meneruskan pelaksanaan beberapa inisiatif utama, antaranya pembangunan Perumahan Awam Kos Rendah di Sukau, Melalap, Beluran dan Pitas.
Selain itu, katanya, pelaksanaan projek Rumah Mampu Milik (RMM) yang sedang dan akan dibangunkan melibatkan 2,358 unit di lokasi strategik seperti Daerah Sandakan, Papar dan Kota Kinabalu turut menjadi keutamaan.
Selain sektor perumahan, Hajiji berkata salah satu mandat penting LPPB ialah merancang dan membangunkan pekan-pekan baharu bagi merangsang pertumbuhan ekonomi setempat serta memperkukuh pembangunan luar bandar.
Katanya, pada masa ini, LPPB diperuntukkan untuk membangunkan sembilan pekan baharu yang telah dikenal pasti, iaitu di Tongod, Paginatan, Merotai, Sungai Melayu Sebatik, Sukau, Melalap, Ulu Dusun, Beluran dan Penangah.
“Saya berharap pembangunan pekan-pekan baharu ini dapat dilaksanakan secara terancang, mampan dan inklusif, selaras dengan keperluan rakyat serta potensi ekonomi setempat,” katanya.
Hajiji juga dimaklumkan LPPB kini sedang melaksanakan satu projek usahasama dengan sebuah syarikat swasta yang melibatkan pemindahan penempatan setinggan ke tapak penempatan semula secara lebih tersusun.
Beliau percaya usaha itu mampu membantu kerajaan negeri menangani isu penempatan setinggan secara lebih berkesan, sekali gus meningkatkan kualiti kehidupan rakyat yang terlibat.
Dalam perkembangan berkaitan, Ketua Menteri menegaskan komitmen kerajaan negeri untuk membina lebih banyak rumah mampu milik, termasuk melalui pelbagai program seperti Rumah Mesra Sabah Maju Jaya (SMJ) serta pembinaan perumahan kos rendah oleh LPPB.
Katanya, bagi tahun ini, kerajaan negeri akan menambah bilangan kuota Rumah Mesra SMJ daripada 40 unit kepada 50 unit bagi setiap Dewan Undangan Negeri (DUN).
Menurutnya, penambahan 10 unit Rumah Mesra SMJ itu dikhaskan kepada golongan berumur 40 tahun dan ke bawah, telah berumah tangga serta tidak memiliki rumah, sebagai usaha membantu generasi muda memiliki kediaman sendiri.
“Usaha ini penting bagi memenuhi keperluan rakyat termasuk di kawasan luar bandar serta meningkatkan taraf hidup penduduk Sabah.
“Setiap projek yang dibangunkan LPPB bukan sekadar struktur fizikal, sebaliknya membawa harapan, masa depan serta kesejahteraan rakyat.Di situlah nilai sebenar peranan LPPB, bukan sekadar membina bangunan, tetapi membina kehidupan dan komuniti,” katanya.
