KUDAT: Polis berjaya menumpaskan kegiatan pecah rumah dan curi di daerah ini apabila menahan lima lelaki tempatan dalam beberapa serbuan berasingan yang dijalankan awal Januari lalu.
Ketua Polis Daerah Kudat, Superintenden Mohd Haris Hj Ibrahim berkata, tangkapan dibuat hasil operasi bersepadu oleh Bahagian Siasatan Jenayah bersama pasukan Task Force Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kudat.
Menurutnya, operasi pertama dijalankan pada 1 Januari 2026 antara jam 4.00 hingga 5.30 petang di dua lokasi berasingan iaitu kawasan hadapan bangunan Ko-Nelayan, Kudat dan di tepi Jalan Pantai Bak-Bak.
“Hasil serbuan tersebut, polis berjaya menahan dua lelaki yang disyaki terlibat dalam kes pecah rumah dan curi di sekitar daerah Kudat,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Beliau berkata, tangkapan susulan terhadap dua lagi lelaki dibuat pada 4 Januari 2026 antara jam 1.00 hingga 2.30 petang di Kampung Tanjung Kapor serta di Jalan Pinangsop, Kudat.
“Tangkapan kelima pula dilakukan pada 5 Januari 2026 kira-kira jam 11.30 pagi di sebuah stesen minyak Buraq Oil, Jalan Tamalang selepas suspek dipercayai terlibat dalam kegiatan jenayah yang sama,” katanya.
Menurut Mohd Haris, dengan penahanan kelima-lima suspek berkenaan, polis turut merampas pelbagai barangan yang dipercayai hasil curi daripada kegiatan pecah rumah.
“Hasil siasatan mendapati semua suspek mengaku terlibat dalam 13 kes pecah rumah dan curi di sekitar daerah Kudat. Enam kertas siasatan telah mendapat arahan tuduh,” jelasnya.
Tambah beliau, ujian saringan air kencing yang dijalankan mendapati tiga daripada lima suspek didapati positif dadah jenis syabu (methamphetamine).
Kes disiasat di bawah beberapa peruntukan Kanun Keseksaan iaitu Seksyen 457, Seksyen 379, Seksyen 380 dan Seksyen 447.
Dalam pada itu, polis menasihatkan orang ramai agar tidak terlibat dalam sebarang kegiatan jenayah dan menggesa masyarakat menyalurkan maklumat kepada pihak polis sekiranya mengetahui sebarang kejadian jenayah berlaku di kawasan sekitar.
