KOTA BELUD: Lima individu termasuk tiga kanak-kanak cedera selepas sebuah kenderaan pacuan empat roda jenis Isuzu D-Max terbabas sendiri sebelum terjunam ke dalam gaung sedalam kira-kira 15 meter di Kampung Pituru Laut, malam tadi.
Ketua Balai BBP Kota Belud, Elgie Bakuk berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 8.01 malam sebelum sepasukan tujuh anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Belud digerakkan ke lokasi kejadian yang terletak kira-kira 20 kilometer dari balai.
“Pasukan bomba tiba di lokasi pada jam 8.33 malam dan mendapati kemalangan melibatkan sebuah Isuzu D-Max yang terbabas sendiri lalu masuk ke dalam gaung sedalam 15 meter.
“Terdapat lima mangsa terlibat dan kesemua mereka telah berjaya dikeluarkan oleh orang awam sebelum ketibaan pasukan bomba,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Menurutnya, mangsa terdiri daripada seorang wanita berusia 40 tahun, lelaki 44 tahun serta tiga kanak-kanak lelaki masing-masing berumur 4, 7 dan 10 tahun.
“Semua mangsa dilaporkan mengalami kecederaan.
Pasukan EMRS bomba telah memberikan rawatan awal di lokasi sebelum menghantar mangsa ke hospital menggunakan jentera EMRS untuk rawatan lanjut,” katanya.
Operasi yang turut dibantu dua anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan dua petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) itu ditamatkan sepenuhnya pada jam 9.07 malam selepas pihak bomba memastikan tiada lagi bahaya lain di kawasan kejadian.
Punca kemalangan masih dalam siasatan pihak berkuasa.
