SANDAKAN: Seorang lelaki warga emas maut selepas tertimbus dalam kejadian tanah runtuh di bahagian belakang sebuah hotel di pusat bandar Sandakan, awal pagi tadi.
Mangsa dikenali sebagai Agustine Frederick J Lingam, 76 tahun, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian selepas berjaya dikeluarkan oleh pasukan bomba.
Menurut laporan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, pihaknya menerima panggilan kecemasan melalui talian NG999 pada jam 6.39 pagi mengenai kejadian tanah runtuh di salah sebuah hotel di bandar Sandakan.
Pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sandakan yang terdiri daripada 10 anggota bergegas ke lokasi dan tiba kira-kira sembilan minit kemudian, dengan jarak perjalanan sekitar 6 kilometer.
Komander Operasi PBK I Haris Mustapha melaporkan kejadian dipercayai berlaku ketika cuaca hujan lebat yang menyebabkan bekalan elektrik di hotel berkenaan terputus.
Difahamkan, mangsa yang merupakan kakitangan hotel cuba menghidupkan generator (genset) yang terletak di bahagian belakang bangunan ketika insiden berlaku.
Namun ketika cuba menghidupkan genset tersebut, mangsa dipercayai telah tertimbus runtuhan tanah.
Pasukan bomba yang menjalankan pemeriksaan awal mendapati mangsa tertimbus separuh badan sebelum operasi menyelamat dijalankan dengan menggunakan peralatan penyodok bagi menggali runtuhan tanah.
Mangsa berjaya dikeluarkan pada jam 7.14 pagi, namun pemeriksaan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengesahkan mangsa telah meninggal dunia di lokasi kejadian.
Mayat mangsa kemudian diserahkan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk tindakan lanjut.
Operasi yang turut melibatkan agensi KKM dan PDRM itu ditamatkan sepenuhnya pada jam 8.19 pagi selepas pasukan bomba memastikan tiada lagi bahaya di kawasan berkenaan.
Operasi diketuai oleh PKPgB Jimmy Lagung, manakala TPgB Mohd Faizal Wahid selaku Pegawai Zon Sandakan turut berada di lokasi memantau operasi.
