TAWAU: Seorang lelaki warga asing diberkas polis kurang 24 jam selepas disyaki terbabit dalam kes ugutan untuk menyebarkan video dan gambar peribadi seorang wanita dalam kejadian di Merotai Besar, di sini, semalam.
Ketua Polis Daerah Tawau, ACP Jasmin Hussin berkata, suspek berusia lingkungan 30-an itu ditahan oleh sepasukan anggota dari Balai Polis Bombalai kira-kira jam 5.45 petang di kawasan tepi Gerai Kampung Merotai Besar.
Menurutnya, tangkapan dibuat susulan laporan seorang wanita berusia 20-an yang mendakwa menerima ugutan daripada bekas kenalannya melalui beberapa nombor telefon sekitar jam 10.35 pagi.
“Mangsa mendakwa suspek mengugut untuk memviralkan video dan gambar peribadinya sekiranya gagal menyerahkan sejumlah wang. Disebabkan bimbang bahan berkenaan disebarkan, mangsa terpaksa memberikan wang kepada suspek,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Tambahnya, suspek juga dipercayai kerap menghubungi mangsa pada waktu malam dengan tujuan mengganggu serta menjejaskan keharmonian rumah tangga mangsa.
Dalam pada itu, polis turut merampas sebilah pisau sepanjang kira-kira 16 sentimeter serta dua unit telefon bimbit yang ditemui di dalam sebuah beg sandang, dipercayai digunakan semasa kejadian.
Menurut ACP Jasmin, kes disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana ugutan jenayah serta Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.
“Polis memandang serius sebarang bentuk ugutan dan pemerasan, khususnya yang melibatkan ancaman penyebaran bahan peribadi, dan tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pihak yang melanggar undang-undang,” tegasnya.
