TAWAU: Polis berjaya menahan seorang lelaki warga asing yang disyaki terlibat dalam kes rogol seorang remaja perempuan bawah umur di kawasan Merotai Besar, di sini.
Ketua Polis Daerah Tawau, ACP Jasmin bin Hussin, berkata kejadian dipercayai berlaku ketika mangsa berada di rumah saudaranya sebelum satu laporan polis dibuat berhubung insiden tersebut.
Menurut beliau, susulan laporan itu, sepasukan anggota dari Balai Polis Bombalai dengan kerjasama masyarakat setempat telah menjalankan operasi mengesan suspek.
“Hasil tindakan tersebut, pihak polis berjaya menahan seorang lelaki warga asing berusia lingkungan 20 tahun di hadapan sebuah rumah tanpa nombor di Kampung Simpang Tiga Merotai Besar kerana disyaki terlibat dalam kes berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau berkata, suspek kemudiannya dibawa ke balai polis bagi tujuan siasatan lanjut.
Kes disiasat di bawah Seksyen 376 Kanun Keseksaan.
ACP Jasmin turut menegaskan bahawa pihak polis memandang serius kes jenayah seksual dan akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana individu yang terlibat.
