TAWAU: Seorang lelaki tempatan bertindak agresif dan mengamuk sebelum mengancam keselamatan penduduk kampung berjaya ditahan anggota Unit Kereta Peronda (MPV) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau dalam satu kejadian di Kampung Hidayat, Batu 4, Jalan Apas, pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Tawau, ACP Jasmin bin Hussin berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 9.30 pagi ketika anggota MPV menjalankan rondaan rutin sebelum menerima panggilan kecemasan daripada Pusat Kawalan Daerah (DCC) mengenai seorang individu bertindak agresif di kawasan berkenaan.
Menurut beliau, sepasukan anggota peronda dengan bantuan dua lagi kenderaan MPV bergegas ke lokasi sebelum berjaya menahan seorang lelaki berusia 34 tahun.
“Hasil semakan menggunakan sistem Mobile Card Acceptance Device (MCAD) mendapati suspek merupakan individu dikehendaki polis berkaitan kes penipuan yang dilaporkan di Putatan, Kota Kinabalu pada tahun lalu,” katanya dalam satu kenyataan.
Tambahnya, pemeriksaan lanjut ke atas suspek menemui beberapa barangan berbahaya dipercayai digunakan semasa kejadian termasuk pemutar skru, bilah pisau pemotong kertas, bilah gunting serta sebatang besi, yang kemudiannya dirampas oleh pihak polis.

“Suspek bersama barang rampasan telah dibawa ke IPD Tawau untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana ugutan jenayah serta Seksyen 420 kanun yang sama berkaitan kes penipuan,” jelasnya.
Dalam pada itu, Jasmin menasihatkan orang ramai supaya tidak mengambil tindakan sendiri sekiranya berdepan individu agresif atau mencurigakan, sebaliknya segera menghubungi pihak polis bagi membolehkan tindakan pantas diambil demi menjamin keselamatan awam.
