KOTA BELUD: Enam sekeluarga terselamat dalam kebakaran yang memusnahkan hampir keseluruhan deretan kedai separuh kekal di hadapan SMK Narinang awal pagi tadi.
Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah memaklumkan, panggilan kecemasan diterima pada jam 5.32 pagi sebelum pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Belud bergegas ke lokasi kejadian yang terletak kira-kira 22 kilometer dari balai.
Pasukan bomba tiba pada jam 5.55 pagi dan mendapati kebakaran melibatkan satu blok deretan kedai separuh kekal sembilan pintu berkeluasan kira-kira 150 kaki x 40 kaki, dengan tahap kemusnahan dianggarkan 95 peratus.
Operasi pemadaman dijalankan menggunakan dua aliran sepanjang 200 kaki dengan dua pancutan air. Sumber air diperoleh daripada jentera bomba serta pili bomba di luar kawasan kejadian.
Bagaimanapun, menurut Komander Operasi PBK I Hasmaddy Agum, pili bomba berhampiran sekolah tidak mempunyai tekanan air. Pasukan bomba terpaksa bergerak sejauh kira-kira tiga kilometer ke kawasan Tag Valley untuk mengisi semula air jentera menggunakan pili bomba di tepi jalan.
Dalam kejadian itu, enam mangsa terlibat membabitkan sebuah keluarga. Seorang lelaki berusia 32 tahun mengalami kecederaan melecur pada bahagian muka dan badan, manakala lima lagi mangsa termasuk isteri serta empat anak mereka berusia antara satu bulan hingga 11 tahun dilaporkan selamat.
Semua mangsa diberikan rawatan awal oleh pasukan Perkhidmatan Penyelamat Perubatan Kecemasan (EMRS) dan Kementerian Kesihatan Malaysia sebelum dihantar ke Hospital Kota Belud untuk rawatan lanjut.
Operasi berjaya dikawal pada jam 7.13 pagi dan ditamatkan sepenuhnya pada jam 10.55 pagi selepas pasukan bomba memastikan tiada lagi bahaya di lokasi kejadian.
Operasi melibatkan tujuh anggota BBP Kota Belud dengan sebuah jentera FRT dan sebuah kenderaan EMRS, dibantu agensi lain termasuk Polis Diraja Malaysia, Sabah Electricity Sdn Bhd, Kementerian Kesihatan Malaysia serta Bomba Sukarela Pangkalan Abai.
