KINABATANGAN: Seorang lelaki dilaporkan hilang selepas dipercayai dibaham buaya ketika menjalankan aktiviti menjala udang di sungai berhampiran Kampung Segaliud, Jalan Masuk SK Segaliud Seri Linkas, di sini malam tadi.
Ketua Balai Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kinabatangan, Hairi Otuh, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 8.22 malam sebelum sepasukan anggota digerakkan ke lokasi kejadian.
Menurutnya, pasukan bomba tiba di lokasi kira-kira jam 9.10 malam selepas menempuh perjalanan sejauh 30 kilometer.
“Kejadian melibatkan seorang mangsa lelaki yang dipercayai dibaham buaya ketika berada di sungai.
“Berdasarkan maklumat awal, mangsa sedang menjalankan aktiviti menjala udang sebelum diserang reptilia tersebut di hadapan bapanya,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Mangsa dikenali sebagai Mohd Rayyan Abdullah, 28, dan sehingga kini masih belum ditemui.
Hairi berkata pasukan bomba yang terdiri daripada empat anggota telah menjalankan operasi awal di lokasi kejadian bagi mendapatkan maklumat serta merancang tindakan seterusnya.
“Operasi mencari dan menyelamat (SAR) sedang giat dijalankan dan akan diteruskan bagi mengesan mangsa,” katanya.
Operasi tersebut menggunakan sebuah kenderaan pacuan empat roda dan perkembangan lanjut akan dimaklumkan dari semasa ke semasa.
