KINABATANGAN: Seorang lelaki dipercayai dibaham buaya selepas dilaporkan hilang ketika memukat ikan di sungai berhampiran Ladang Kompas Tenggara Sukau, di sini, sejak malam Jumaat.
Mangsa, Stefanus Martin, 48, warga Timor, dilaporkan hilang kira-kira jam 8 malam pada 6 Februari lalu selepas memaklumkan kepada rakan sekerja bahawa beliau keluar memukat ikan di sungai berhampiran kawasan ladang.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kinabatangan, Hairi bin Otuh berkata, Bilik Kawalan BBP Kinabatangan menerima panggilan kecemasan daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM) berhubung kejadian itu pada jam 1.07 petang, hari ini.
Menurutnya, hasil maklumat awal mendapati pengadu bersama beberapa pekerja ladang lain telah menjalankan usaha pencarian di sekitar tebing sungai, namun mangsa gagal ditemui.
“Pencarian awal hanya menemukan pakaian dan pukat ikan dipercayai milik mangsa di lokasi kejadian, sekali gus menimbulkan syak mangsa menjadi mangsa serangan buaya,” katanya dalam kenyataan.
Susulan itu, sepasukan lima anggota dari BBP Kinabatangan digerakkan ke lokasi kejadian yang terletak kira-kira 35 kilometer dari balai bagi menjalankan operasi mencari dan menyelamat (SAR).
Operasi diketuai oleh Komander Operasi, PBK I Mohamud Bin Punya, dengan bantuan agensi lain termasuk PDRM. Sebuah kenderaan jenis VIGO digunakan bagi membawa anggota dan peralatan ke lokasi.
Sehingga laporan ini ditulis, mangsa masih belum ditemui dan operasi SAR sedang dalam perjalanan ke lokasi kejadian.
Pihak bomba memaklumkan bahawa maklumat lanjut berhubung perkembangan operasi akan dikemaskini dari semasa ke semasa.
