RANAU: Polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ranau menahan seorang lelaki tempatan berusia 41 tahun disyaki terlibat dalam kegiatan memproses dan mengedar air ketum di sebuah kampung di daerah ini, pada Isnin.
Penahanan suspek dibuat hasil operasi yang dijalankan oleh sepasukan anggota BSJN selepas menerima maklumat berkaitan aktiviti haram berkenaan.
Pemeriksaan di kediaman suspek membawa kepada penemuan beberapa botol berisi cecair disyaki air ketum serta peralatan dipercayai digunakan untuk memasak minuman tersebut.

Antara barangan yang dirampas ialah empat botol plastik berkapasiti 1.5 liter, satu botol plastik 0.5 liter, sebuah tong gas, dapur masak serta bekas polisterin putih.
Suspek telah ditahan untuk siasatan lanjut dan kes disiasat di bawah Seksyen 30(3) Akta Racun 1952.
Jika sabit kesalahan, suspek boleh dikenakan hukuman penjara tidak melebihi lima tahun atau denda sehingga RM100,000, atau kedua-duanya sekali.
Pihak polis menegaskan bahawa tindakan tegas akan terus diambil terhadap mana-mana individu yang terlibat dalam pemprosesan, pengedaran atau penggunaan ketum kerana perbuatan itu merupakan kesalahan di sisi undang-undang.
Polis turut meminta orang ramai agar menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti penyalahgunaan bahan terlarang bagi membantu usaha penguatkuasaan dan membanteras kegiatan tersebut.
