LAHAD DATU: Polis Daerah Lahad Datu berjaya menahan seorang lelaki tempatan dan merampas dadah disyaki syabu seberat 103.76 gram dalam satu operasi khas di kawasan jeti awam Lahad Datu, pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Lahad Datu, ACP Dzulbaharin Ismail, berkata tangkapan dibuat kira-kira jam 10.30 pagi oleh sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah (BSJND) Lahad Datu ketika menjalankan Op Tapis.
“Suspek dikesan dalam keadaan mencurigakan di kawasan jeti awam sebelum pemeriksaan lanjut dijalankan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut beliau, hasil pemeriksaan menemui tiga paket plastik lutsinar pelbagai saiz mengandungi ketulan hablur jernih yang disyaki dadah jenis syabu dengan anggaran berat keseluruhan 103.76 gram, bernilai kira-kira RM11,413.60.
“Polis turut merampas sebuah telefon bimbit yang dipercayai digunakan bagi tujuan pengedaran dadah,” katanya.
ACP Dzulbaharin berkata, suspek berusia 26 tahun itu telah ditahan dan kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952, yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara seumur hidup jika sabit kesalahan.
Dalam perkembangan sama, beliau memaklumkan polis turut menyita sebuah bot serta enjin sangkut yang dipercayai mempunyai kaitan dengan kegiatan pengedaran dadah berkenaan.
“Usaha mengesan rangkaian serta pembekal dadah masih diteruskan dan pihak polis tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pihak yang terlibat dalam aktiviti pengedaran dadah di daerah ini,” tegasnya.
Beliau turut menegaskan komitmen berterusan IPD Lahad Datu dalam memerangi jenayah dadah demi keselamatan dan kesejahteraan masyarakat setempat.
