KOTA KINABALU: Polis Diraja Malaysia Sabah berjaya merampas lebih 53 kilogram dadah jenis syabu bernilai hampir RM2.65 juta menerusi tiga operasi berasingan di Kota Kinabalu dan Tawau, minggu lalu.
Operasi tersebut turut membawa kepada penahanan lima individu termasuk satu keluarga serta seorang lelaki warga emas.
Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jauteh Dikun berkata, operasi pertama dijalankan kira-kira 11.15 malam pada 11 Mac lalu di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu.
Menurutnya, seorang lelaki tempatan berusia 36 tahun ditahan selepas tiga kotak mencurigakan dikesan melalui mesin pengimbas di laluan ketibaan antarabangsa.
“Siasatan mendapati suspek berperanan sebagai penghantar yang membawa masuk dadah ke negeri ini.
“Hasil pemeriksaan lanjut menemukan 30.3 kilogram syabu yang disorok menggunakan taktik licik dengan dimasukkan secara sistematik ke dalam kotak kayu simpanan botol wain bagi mengaburi pihak berkuasa,” katanya.
Tambah beliau, dadah tersebut dipercayai cuba diseludup masuk sebelum diserahkan kepada individu lain di negeri ini.
Dalam operasi kedua pada 13 Mac, polis menahan seorang lelaki berusia 42 tahun dalam serbuan di sebuah premis stor penyimpanan kenderaan di Tawau.
“Pemeriksaan menemukan tiga bungkusan plastik mengandungi syabu seberat 3,071.04 gram dengan nilai RM214,973,” katanya.
Susulan itu, satu lagi serbuan dijalankan pada hari sama kira-kira 8.30 malam di Kampung Jawa, Jalan Mawar, Tawau.
Dalam operasi tersebut, tiga individu termasuk seorang wanita dan seorang warga emas berusia 73 tahun berjaya ditahan.
“Hasil pemeriksaan menemukan 20 paket syabu seberat 20,471.12 gram dengan anggaran nilai RM1.43 juta yang disembunyikan di dalam bilik berkunci,” katanya.
Jauteh berkata, polis turut merampas beberapa kenderaan termasuk motosikal, lori tiga tan dan sebuah Toyota Alphard yang dipercayai mempunyai kaitan dengan kegiatan pengedaran dadah tersebut.
Kesemua suspek kini direman bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.
