KOTA BELUD: Lebih 5,000 orang menghadiri Sambutan Rumah Terbuka Krismas dan Tahun Baharu Kadamaian anjuran Kementerian Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan Sabah dan ADUN Kadamaian, di Dewan Kadamaian Square, di sini, hari ini.
Timbalan Ketua Menteri III merangkap Menteri Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan Sabah Datuk Ewon Benedick, berkata, acara seumpama ini menjadi platform penting dalam menyantuni rakyat Sabah khususnya menghargai sokongan berterusan rakyat Kadamaian yang telah memberikan mandat besar pada pilihan raya lalu.
“Sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kadamaian, Menteri Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan Sabah serta sebagai pemimpin negeri, saya meraikan rakyat Sabah khususnya di Kadamaian pada majlis ini yang sememangnya saya anjurkan sejak dipilih sebagai wakil rakyat Kadamaian.
“Majlis seperti ini memberi ruang kepada kita untuk berinteraksi secara langsung, mengeratkan silaturahim, memperkukuhkan keharmonian dan memperkasakan perpaduan. Inilah asas utama yang diperlukan untuk memajukan Sabah,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan Sambutan Rumah Terbuka Krismas dan Kesyukuran Tahun Baharu 2026 Kadamaian, di Dewan Kadamaian Square, di sini, hari ini.
Ewon berkata, Rumah Terbuka seumpama ini menghimpunkan ribuan rakyat daripada pelbagai latar belakang termasuk wakil pelbagai parti politik, jabatan-jabatan kerajaan, dewan-dewan perniagaan serta pemimpin-pemimpin gereja, sekali gus mencerminkan semangat perpaduan dan kebersamaan dalam kalangan masyarakat.
Beliau turut merakamkan ucapan terima kasih kepada seluruh rakyat Kadmaian kerana hadir memeriahkan sambutan itu walaupun hujan.
“Walaupun cuaca hujan lebat pada sebelah awal majlis, ia tidak menghalang kehadiran ribuan rakyat, untuk hadir.
“Ini memberi mesej jelas bahawa rakyat mengharapkan kepimpinan yang konsisten dalam memajukan Kadamaian serta meneruskan program-program kesejahteraan rakyat,” katanya.
Ewon turut menyambut baik kehadiran pemimpin-pemimpin daripada parti-parti berbeza dan menegaskan bahawa perbezaan pandangan adalah perkara biasa dalam proses demokrasi, khususnya semasa pilihan raya.
“Namun selepas kerajaan dibentuk, kita perlu kembali bersatu dan bekerjasama demi kepentingan rakyat. Rakyat mengharapkan kepimpinan yang mampu menyatukan, bukan memecah-belahkan,” katanya.
Beliau menambah, kebersamaan seperti ini perlu diperluaskan bukan sahaja dalam sambutan rumah terbuka, tetapi juga melalui inisiatif lain termasuk mesyuarat dan perbincangan yang menjurus kepada pengukuhan perpaduan kepimpinan negeri.
Menyentuh isu tuntutan Sabah dalam Perjanjian Malaysia, Ewon menegaskan bahawa perkara itu bukan tanggungjawab satu parti semata-mata, sebaliknya merupakan tanggungjawab Kerajaan Sabah yang perlu melibatkan semua parti dan semua wakil rakyat sama ada di peringkat Dewan Undangan Negeri mahupun Parlimen.
“Saya konsisten menyatakan bahawa kita perlu bersatu untuk Sabah,” katanya.
