Dalam suasana politik yang semakin sensitif, apa sahaja peristiwa boleh dengan mudah diputar menjadi polemik, itulah yang berlaku apabila kunjungan delegasi Miss World ke Sabah, yang pada asalnya berteraskan agenda kemanusiaan dan pendidikan, tiba tiba diseret ke dalam perdebatan politik.
Lawatan tersebut sebenarnya bukan sekadar kunjungan protokol atau acara glamor, ia merupakan sebahagian daripada program global “Beauty With A Purpose”, satu inisiatif yang telah lama menjadi teras gerakan Miss World, yang menumpukan kepada projek kebajikan, pendidikan, kesihatan, dan pembangunan komuniti.
Namun, apabila tular imej lawatan ke kawasan yang berdepan masalah air, fokus netizen mula beralih, bukan lagi tentang bantuan, bukan lagi tentang sumbangan, tetapi tentang siapa yang perlu dipersalahkan.
Malangnya, sasaran simbolik yang dipilih ialah Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Sabah.
Persoalannya, adakah itu adil?
Jika diteliti laporan media tempatan, kunjungan Miss World ke Sabah membawa impak yang nyata. Antaranya, sumbangan berjumlah RM300,000 kepada Sabah Autism Society untuk membantu pembangunan program bagi kanak kanak autistik.
Ini bukan jumlah kecil, ia bukan simbolik, ia adalah bantuan sebenar yang akan memberi kesan langsung kepada keluarga yang memerlukan.
Delegasi tersebut juga terlibat dalam sesi perkongsian bersama institusi pendidikan, termasuk usaha membina kerjasama jangka panjang antara University College Sabah Foundation dan organisasi Miss World. Matlamatnya jelas: menghubungkan pendidikan tempatan dengan platform kemanusiaan global.
Ini menunjukkan lawatan tersebut mempunyai dua teras utama, kebajikan dan bantuan sosial, Pendidikan dan pembangunan belia,bukan sekadar sesi fotografi atau acara glamor seperti yang sering disalah erti.
Dalam mana-mana lawatan rasmi delegasi antarabangsa, kunjungan hormat kepada Ketua Negeri atau Ketua Negara adalah perkara biasa. Ia bukan tindakan politik, tetapi sebahagian daripada adat diplomatik.
TYT menerima kunjungan tersebut sebagai tuan rumah negeri, itu tanggungjawab institusi, bukan agenda peribadi.
Tidak logik untuk mengatakan bahawa hanya kerana delegasi tersebut turut melawat kawasan yang berdepan masalah air, maka TYT perlu dipersalahkan, lawatan kemasyarakatan adalah sebahagian daripada program mereka sendiri, bukan agenda pentadbiran Istana.
Delegasi Miss World datang membawa sumbangan, membawa perhatian dunia kepada Sabah, dan membuka ruang kerjasama pendidikan serta kebajikan.
Ini bukan sahaja tidak adil kepada TYT, malah tidak adil kepada delegasi yang datang dengan tujuan membantu.
Jika setiap kunjungan kemanusiaan disambut dengan serangan politik, ia akan memberi isyarat negatif kepada organisasi antarabangsa lain yang mungkin ingin membantu Sabah pada masa depan.
Jika ada isu yang perlu diperbetulkan, betulkanlah pada tempatnya,andai ada kelemahan sistem, tuntutlah pembaikan daripada pihak yang bertanggungjawab.
