TAWAU: Polis menahan lapan lelaki termasuk seorang warga asing bagi membantu siasatan berhubung insiden pergaduhan yang tular di Bazar Ramadan Sabindo, di sini, malam tadi.
Ketua Polis Daerah Tawau, ACP Jasmin Bin Hussin berkata, tangkapan dibuat oleh sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ) IPD Tawau selepas pihak polis mengesan satu rakaman video pergaduhan yang dimuat naik di media sosial.
Menurutnya, susulan penularan video berkenaan, seorang pegawai polis telah membuat laporan pada jam 8.37 malam bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan.
“Hasil tindakan segera pihak polis, seramai lapan lelaki berumur antara 17 hingga 34 tahun berjaya ditahan di beberapa lokasi sekitar Tawau kerana disyaki terlibat dalam kejadian tersebut.
“Daripada jumlah itu, tujuh adalah warganegara Malaysia manakala seorang lagi merupakan warga asing,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, pihak polis turut merampas satu utas rantai motosikal yang dipercayai digunakan dalam kejadian pergaduhan tersebut.
Menurutnya, siasatan awal mendapati pergaduhan itu dipercayai berpunca daripada rasa tidak puas hati antara dua kumpulan, namun siasatan lanjut masih dijalankan bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 148 Kanun Keseksaan kerana merusuh yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan,” katanya.
Tambah beliau, kesemua suspek kini ditahan di lokap IPD Tawau dan pihak polis akan memohon perintah reman selama enam hari bagi membantu siasatan lanjut.
