KOTA MARUDU: Lapan keluarga terpaksa dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) selepas kediaman mereka di Kampung Beliajung terjejas akibat hujan lebat berterusan sejak awal pagi Khamis.
Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Daerah Kota Marudu dalam satu kenyataan memaklumkan, pasukan penyelamat telah digerakkan ke beberapa lokasi ‘hotspot’ banjir bagi memantau paras air selain menjalankan operasi bantuan kepada penduduk terjejas.
Menurutnya, hasil pemantauan mendapati laluan Jalan Langkon–Pitas masih dinaiki air dan tidak boleh dilalui oleh kenderaan kecil, sekali gus menimbulkan risiko kepada pengguna jalan raya.
Beberapa rumah di Kampung Beliajung turut dimasuki air berikutan peningkatan paras sungai akibat hujan berterusan sejak awal pagi.
Kesemua Penduduk Terjejas Bencana (PTB) telah dipindahkan ke Dewan SMK Tandek 2 sebagai langkah keselamatan dan bagi memastikan kebajikan mereka terus terpelihara.
Operasi pemantauan serta bantuan masih diteruskan oleh pihak berkuasa bagi memastikan keadaan kekal terkawal dan sebarang perkembangan dapat ditangani dengan segera.
Setakat ini, tiada sebarang pengisytiharan bencana dibuat.
Orang ramai yang memerlukan bantuan kecemasan boleh menghubungi talian 999 atau Pusat Kawalan Operasi Daerah (PKOD) Kota Marudu di talian 088-661 656.
