KOTA KINABALU: Pembangkang disaran supaya tidak terus mempolitikkan isu lantikan Pengerusi Sabah Development Berhad (SDB) yang baharu, Datuk Dr Yusof Yakob, selagi tiada sebarang keputusan mahkamah yang mensabitkan beliau dengan kesalahan jenayah.
Aktivis politik pro-Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Aksyah Haji Nasrah, berkata kritikan berterusan pembangkang terhadap lantikan itu adalah tidak relevan dari sudut perundangan dan bersifat pramatang.
Menurutnya, dakwaan bahawa Dr Yusof berdepan kes rasuah memang benar dari segi naratif, namun perkara itu masih dalam proses perbicaraan dan belum ada sebarang keputusan mahkamah.
“Dalam negara yang menjunjung kedaulatan undang-undang, prinsip asas yang perlu dihormati ialah seseorang itu dianggap tidak bersalah sehingga dibuktikan sebaliknya. Selagi tiada sabitan dan hukuman, adalah tidak wajar pembangkang menghukum beliau lebih awal,” katanya dalam posting di Facebooknya.
Aksyah menegaskan pembangkang seharusnya bersikap lebih terbuka apabila isu melibatkan pemimpin GRS, khususnya dalam pelantikan ke jawatan strategik kerajaan dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC).
Beliau turut merujuk rekod prestasi Dr Yusof ketika menerajui Qhazanah Sabah, yang menurutnya menunjukkan keupayaan kepimpinan serta tahap integriti yang baik.
“Sepanjang beliau menjadi Pengerusi Qhazanah, tiada isu pecah amanah atau salah guna kuasa yang menjejaskan operasi syarikat itu. Malah, Qhazanah masih beroperasi dengan baik sehingga hari ini,” katanya.
Sehubungan itu, Aksyah menyifatkan tuduhan pembangkang sebagai ‘absurd’ dan cacat logik, memandangkan individu yang dituduh sendiri telah mengaku tidak bersalah pada hari pertama perbicaraan.
“Adalah terlalu awal untuk menghukum beliau sedangkan kerusi Pengerusi SDB yang didudukinya masih belum ‘panas’. Pelantikan ini tidak wajar dianggap satu kesilapan, apatah lagi berdasarkan rekod perkhidmatan beliau sebelum ini,” katanya.
Dalam pada itu, Aksyah mengingatkan pembangkang supaya memainkan peranan sebenar sebagai ejen semak dan imbang, bukannya menafikan setiap keputusan yang dibuat oleh Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor.
“Peranan pembangkang ialah memberi kritikan membina dan saranan yang berfokus kepada kepentingan rakyat, terutama jika ada dasar yang tidak pro-rakyat atau gagal dilaksanakan seperti digariskan dalam Halatuju Sabah Maju Jaya 2.0 (SMJ 2.0),” katanya.
Beliau turut menegaskan bahawa kerajaan GRS Plus masih berada pada fasa awal pentadbiran, memandangkan Januari 2026 menandakan tahun pertama kerajaan itu memerintah.
“Sekiranya selepas setahun tiada apa-apa pencapaian atau langkah konkrit dilaksanakan, ketika itulah pembangkang wajar bersuara dengan lebih lantang sebagai semak dan imbang yang bertanggungjawab,” katanya.
Aksyah turut menggesa pembangkang supaya mengurangkan sikap mempolitikkan setiap isu sehingga boleh mengelirukan rakyat, sebaliknya memberi ruang kepada kerajaan GRS Plus merealisasikan agenda pembangunan SMJ 2.0.
Beliau juga membangkitkan isu ‘double standard’ pembangkang dengan mengimbau kembali kes rasuah berjumlah RM1.5 bilion yang pernah dihadapi bekas Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Shafie Apdal, ketika masih memegang jawatan itu.
“Ketika itu, kes berkenaan masih berjalan dan hanya dihentikan selepas beliau menjadi Ketua Menteri dengan status Khas Untuk Simpanan (KUS). Mengapa lantikan Presiden Warisan ketika itu tidak dipertikaikan?” soalnya.
Menurut Aksyah, polemik lantikan Pengerusi SDB ini jelas memperlihatkan sikap tidak konsisten pembangkang dan lebih menjurus kepada langkah populis semata-mata.
“Berilah peluang kepada Dr Yusof untuk membuktikan keupayaannya sebagai Pengerusi SDB. Apa yang rakyat Sabah harapkan ialah prestasi, sumbangan dan hasil yang memberi manfaat kepada negeri, bukannya polemik politik yang tidak berkesudahan,” katanya.
