KOTA KINABALU: Lantikan ahli politik sebagai Pengerusi syarikat berkaitan kerajaan (GLC) adalah satu kewajaran dan kekal relevan dalam memastikan dasar serta halatuju kerajaan negeri dapat dilaksanakan secara berkesan, kata aktivis politik pro-Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Aksyah Haji Nasrah.
Beliau berkata, kritikan pembangkang yang mempersoalkan pelantikan tokoh politik ke dalam GLC dengan alasan ia menjejaskan reformasi institusi adalah bersifat naratif politik sempit dan gagal memahami struktur tadbir urus sebenar syarikat milik kerajaan.
Menurutnya, ahli politik yang dilantik bukan sekadar individu berkepentingan politik, sebaliknya merupakan sebahagian daripada penggubal dasar Kerajaan Negeri yang bertanggungjawab menterjemahkan hala tuju pentadbiran kepada pelaksanaan di peringkat organisasi.
“Dalam struktur GLC, Pengerusi berperanan sebagai stakeholder kepada barisan eksekutif yang mengurus operasi syarikat. Mereka memegang amanah untuk memastikan keputusan, dasar serta hala tuju kerajaan dapat disampaikan dan dilaksanakan dengan berkesan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Aksyah menjelaskan, kejayaan sebenar sesebuah GLC banyak bergantung kepada tahap kecekapan dan profesionalisme barisan eksekutif yang memahami selok-belok perniagaan serta operasi syarikat, selari dengan matlamat kerajaan memerintah.
Katanya, hubungan kerja yang kukuh antara stakeholder dan eksekutif adalah kunci kepada keupayaan GLC menyumbang secara signifikan kepada pembangunan ekonomi dan sosial negeri.
Mengulas lanjut, beliau merujuk ucapan Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor sempena Sambutan Tahun Baharu 2026 yang menegaskan bahawa tahun ini merupakan langkah permulaan ke arah pencapaian Halatuju Sabah Maju Jaya 2.0 (SMJ 2.0).
“SMJ 2.0 bukan sekadar slogan, sebaliknya wawasan rakyat Sabah yang perlu difahami, dihayati dan disesuaikan dengan budaya kerja setiap GLC agar organisasi terbabit mampu menyumbang secara bermakna kepada halatuju negeri,” katanya.
Sehubungan itu, Aksyah menegaskan pelantikan ahli politik sebagai peneraju GLC di Sabah adalah amat relevan bagi memastikan kesinambungan dasar dan penyelarasan hala tuju pembangunan negeri dapat dilaksanakan secara menyeluruh.
“Semoga hubungan kerja yang baik antara stakeholder dan barisan eksekutif di semua peringkat akan melahirkan nilai serta manfaat besar kepada negeri dan rakyat Sabah. Sesungguhnya, Halatuju SMJ 2.0 adalah milik dan tanggungjawab kita bersama,” katanya.
