KOTA KINABALU: Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor menerima kunjungan hormat Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Armizan Mohd Ali di Menara Kinabalu, di sini, pada Selasa.
Pertemuan itu memberi tumpuan kepada isu bekalan bahan api di Sabah, khususnya petrol dan diesel, susulan kebimbangan terhadap kemungkinan berlakunya kehabisan stok (stock out) yang boleh menjejaskan pengguna serta kelangsungan sektor ekonomi negeri.
Armizan dalam pertemuan itu memberi jaminan bahawa kerajaan Persekutuan melalui kementeriannya sentiasa mengambil langkah proaktif bagi memastikan bekalan bahan api di Sabah kekal mencukupi dan stabil.
Beliau berkata, pemantauan rapi serta penyelarasan berterusan bersama agensi berkaitan akan terus diperkukuh bagi mengelakkan sebarang gangguan bekalan, khususnya di kawasan luar bandar dan sektor kritikal.
Sementara itu, Hajiji menegaskan kepentingan bekalan bahan api yang konsisten bagi menyokong aktiviti ekonomi negeri, termasuk sektor logistik, perikanan dan pertanian yang banyak bergantung kepada penggunaan diesel.
Dalam perkembangan berkaitan, Hajiji turut menerima kunjungan hormat Pengerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), Tan Sri Mohd Salim Fateh Din yang memberi taklimat mengenai kemajuan pelaksanaan Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA) di Sabah serta inisiatif Bandar Pintar Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK Smart City).Turut hadir Menteri Pendidikan, Sains, Teknologi dan Inovasi Negeri, Datuk James Ratib,Ahli SKMM, Jeneral (B) Tan Sri Dr Zulkifeli Mohd Zin serta pegawai kanan suruhanjaya itu.
