LAHAD DATU: Kursus Sea Combat Amfibia yang diperkenalkan sejak 2023 di Sabah bertujuan memperkukuhkan keupayaan tempur pasukan keselamatan dalam menangani ancaman Maritim sekali gus memastikan keselamatan negeri Sabah terus kekal aman.
Latihan tempur yang menumpukan kepada kemahiran pengendalian bot tempur, taktikal serbuan dan risikan maklumat adalah untuk meningkatkan kesiapsiagaan anggota menghadapi sebarang ancaman jenayah maritim.
Ketua Polis Negara, IG Dato Sri Haji Mohd Khalid Bin Haji Ismail berkata, segala usaha yang dilaksanakan adalah bagi memastikan kesiapsiagaan pegawai dalam menangani isu keselamatan dengan program latihan dijalankan secara berterusan dari semasa ke semasa.
“Saya percaya segala usaha yang kita buat ini bagi memastikan kesiapsiagaan pegawai-pegawai kita dalam menangani isu-isu yang terlibat dengan isu-isu keselamatan. Jadi program latihan ini sentiasa dilakukan dari masa ke semasa.
Pada tahun lepas kita telah melaksanakan lebih kurang dua kali ya latihan yang serupa dan bagi tahun 2026 ini kita buat kali pertama dan kita akan laksanakan lagi bagi memastikan kesiapsiagaan pegawai-pegawai kita dalam menjalankan tugas mereka..katanya.
Beliau bercakap kepada media selepas merasmikan penutupan Kursus Asas Sea Combat di Lahad Datu.
Kursus asas Sea combat yang bermula pada 11 Januari hingga 14 Februari itu diadakan sekitar kawasan operasi termasuk PGA Batalion 17 dan Pulau Adal Semporna.
Seramai 43 pegawai kanan dan anggota terlibat dalam kursus asas Sea combat berkenaan.
Terdahulu Dato Sri Mohd Khalid dalam ucapan penutupan perasmian kursus asas sea combat itu turut menzahirkan rasa bangga terhadap tahap disiplin, keupayaan fizikal, ketahanan mental dan semangat setiakawan yang dipamerkan peserta sekali gus mencerminkan keutuhan kerja berpasukan dalam melaksanakan tugas kepolisian.
Komitmen serta profesionalisme yang ditunjukkan sepanjang kursus ini mencerminkan standard latihan tinggi PDRM dalam memperkukuhkan keupayaan operasi keselamatan perairan negara khususnya di Pantai Timur Sabah yang berdepan pelbagai ancaman keselamatan.
Sementara itu demonstrasi medan Sea Combat amfibia merupakan acara kemuncak penutupan kursus berkenaan.
Antara yang hadir ialah Pesuruhjaya Polis Sabah, Jauteh Dikun, Timbalan Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (JKDNKA) PGA, DCP Dato Mohammad Suzrin Mohammad Rodhi, Komander Briged Sabah, SAC Nor Omar Sappi serta Komander ESSCOM, Datuk Victor B Sanjos.
