KOTA KINABALU Kumpulan Sawit Kinabalu menegaskan komitmennya terhadap integriti dan tadbir urus korporat melalui Program Ikrar Bebas Rasuah (IBR) bertempat di Shangri-La Tanjung Aru. Program ini dianjurkan oleh Divisyen Integriti & Governans Kumpulan Sawit Kinabalu dengan kerjasama Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Negeri Sabah.
Sesi lafaz ikrar bebas rasuah tersebut telah diketuai oleh Hazem Mubarak Tun Musa selaku Pengerusi Kumpulan Sawit Kinabalu diiringi dengan barisan Ahli Lembaga Pengarah dan Pengurusan Tertinggi Syarikat tersebut sejurus selepas mesyuarat pertama Lembaga Pengarah Kumpulan Sawit Kinabalu bagi tahun 2026.
Pelafazan ikrar tersebut disaksikan oleh Datuk TPj Mohd Fuad Bee bin Haji Basrah, Pengarah SPRM Cawangan Sabah serta KPKPj Awang Samsul Baharam bin Bungso, Penasihat Integriti kepada Ketua Menteri, yang turut menyatakan sokongan terhadap usaha berterusan Kumpulan Sawit Kinabalu dalam memperkukuh budaya integriti khususnya di peringkat pengurusan tertinggi.
Program ini melambangkan komitmen teguh kepimpinan tertinggi syarikat dalam melaksanakan amanah dengan penuh integriti, menolak sebarang bentuk rasuah serta memastikan setiap keputusan perniagaan dibuat secara telus, beretika dan bertanggungjawab selaras dengan prinsip tadbir urus korporat yang baik.
Melalui inisiatif ini, kepimpinan syarikat berhasrat menjadi contoh teladan kepada seluruh warga kerja di samping memperkukuh keyakinan pihak berkepentingan terhadap standard integriti dan profesionalisme yang diamalkan oleh Kumpulan Sawit Kinabalu.
