PUTATAN: Program walkabout merupakan elemen penting kepada kerajaan untuk mengukuhkan hubungan dua hala pihak kerajaan dan komuniti setempat terutamanya pada musim perayaan ini.
Ahli Parlimen Putatan; Datuk Ir Shahelmey Yahya berkata, menerusi program berkenaan, pihaknya menerusi Pejabat Parlimen, Pejabat DUN dan agensi berkaitan dapat meninjau situasi sebenar di lapangan.
Jelasnya, ia sekaligus meningkatkan keupayaan kerajaan untuk memperhalusi kaedah-kaedah penyelesaian isu-isu rakyat, sama ada para peniaga dan juga penghuni kawasan perumahan yang dilawati.
“Ia sudah tentu memberikan maklum balas secara telus di peringkat lapangan di mana kita bertemu secara bersemuka dengan masyarakat.
“Sehubungan itu, menerusi program walkabout bersempena musim perayaan Tahun Baharu Cina dan persediaan bulan Ramadan ini amat penting kerana kita secara efisyen dapat menerima input dan pandangan terus daripada masyarakat bagi penambahbaikan perkhidmatan atau isu setempat, “katanya.
Beliau berkata demikian selepas mengadakan program walkabout dan pengedaran kotak limau bersempena sambutan Tahun Baharu Cina di deretan kedai Pekan Tanjung Aru dan Sembulan, dekat sini, pada Sabtu.
Hadir sama adalah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tg Keramat; Shah Alfie Yahya dan pemimpin setempat.
Mengulas lanjut program itu, Shahelmey yang juga Pengerusi Sabah Oil and Gas Development Corporation (SOGDC) berkata, ianya amat signifikan untuk bertemu dengan para peniaga yang terdiri daripada masyarakat Tiong Hua di kawasan tersebut.
“Di Sabah, kita sentiasa bertoleransi tinggi di antara suku dan kaum lain, menerusi program ini kita juga berkongsi kemeriahan bersama mereka dalam sambutan Tahun Baharu Cina.
“Selain mengagihkan limau, kita juga sempat berinteraksi dengan para penduduk Tiong Hua di Tg Aru dan Sembulan yang mana ianya merupakan program tahunan dilakukan di peringkat parlimen kita, “katanya.
