LAHAD DATU: Seorang kontraktor tempatan mengalami kerugian sebanyak RM1,219,300 selepas dipercayai menjadi mangsa penipuan pelaburan saham yang diiklankan menerusi platform media sosial Facebook.
Menurut perkongsian maklumat oleh Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) di laman Facebook Ibu Pejabat Polis Daerah Lahad Datu, mangsa telah menekan pautan iklan berkenaan sebelum dimasukkan ke dalam satu kumpulan WhatsApp yang dikendalikan oleh individu tidak dikenali.
Dalam kumpulan tersebut mangsa dijanjikan pulangan keuntungan sebanyak 10 peratus bagi setiap pelaburan serta jaminan pampasan sekiranya mengalami kerugian.
Mangsa kemudian diarahkan memuat turun satu aplikasi pelaburan yang memaparkan kononnya keuntungan meningkat secara mendadak.
Terpedaya dengan paparan keuntungan berkenaan, mangsa membuat beberapa transaksi pemindahan wang secara berperingkat ke beberapa akaun berbeza yang diberikan suspek.
Bagaimanapun apabila mangsa cuba mengeluarkan wang berjumlah RM600,000, beliau diminta membayar komisen sebanyak 10 peratus terlebih dahulu.
Selepas bayaran dibuat mangsa dimaklumkan pula bahawa wang tersebut disekat dan perlu menjelaskan “cukai” tambahan untuk proses pengeluaran.
Menyedari sesuatu yang tidak kena mangsa akhirnya menyedari bahawa pelaburan tersebut tidak wujud dan paparan dalam aplikasi hanyalah rekaan semata-mata menyebabkan kerugian keseluruhan mencecah lebih RM1.2 juta.
JSJK menasihatkan orang ramai supaya sentiasa berwaspada terhadap tawaran pelaburan dalam talian yang menjanjikan pulangan tinggi dalam tempoh singkat serta melakukan semakan dengan pihak berkuasa sebelum membuat sebarang pelaburan.
