PAPAR: Kompleks Anak Yatim dan Asnaf As-Sakinah di Papar bukan sahaja berperanan sebagai tempat perlindungan, malah menjadi institusi penting dalam pembentukan sahsiah, pendidikan dan pembangunan masa depan anak-anak.
Yang Dipertua Negeri Sabah, Tun Musa Aman berkata anak-anak yang tinggal di kompleks berkenaan bukan sekadar penerima bantuan, sebaliknya merupakan amanah Allah SWT yang perlu dibimbing agar menjadi insan berilmu, berakhlak dan berdaya saing.
Beliau berharap pengurusan kompleks itu akan terus memperkukuh aspek pendidikan, pembangunan rohani serta kemahiran hidup supaya anak-anak terbabit mampu berdikari dan menyumbang kepada masyarakat pada masa hadapan.
“Saya berharap agar pengurusan kompleks ini akan terus memperkukuh aspek pendidikan, pembangunan rohani dan kemahiran hidup supaya anak-anak kita ini mampu berdikari dan memberikan sumbangan kepada masyarakat pada masa hadapan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Kompleks Anak Yatim dan Asnaf As-Sakinah di sini, pada Khamis.
Tun Musa turut melahirkan rasa gembira apabila anak-anak yatim dari Kompleks As-Sakinah berjaya memperoleh peluang pendidikan yang baik di beberapa universiti di seluruh negara.
